Lebih baik bersukan dari berdemo, pohon UM kepada siswa

tangkap_um_600

PETALING JAYA: Siswa dipohon supaya bersukan atau melibatkan diri dalam kebudayaan yang dilihat bermanfaat kepada negara berbanding tunjuk perasaan jalanan.

Pentadbiran Universiti Malaya (UM) dalam satu emel kepada FMT menyarankan siswa supaya tidak terbabit dalam demonstrasi jalanan, seperti himpunan #TangkapMO1 27 Ogos depan, kerana ia merugikan masa mereka.

“Sebagai pemimpin masa depan, masa itu seharusnya digunakan untuk aktiviti berguna seperti aktiviti ilmiah, kepimpinan, kebudayaan dan sukan yang mampu menjulang nama negara,” kata UM, melalui emel daripada pegawai perhubungan korporatnya, Harris Rajahdin.

Kenyataan itu menjawab pertanyaan FMT berhubung rancangan kumpulan siswa tertentu yang mahu mengadakan tunjuk perasaan #TangkapMO1 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Tunjuk perasaan ini merupakan respon kepada inisiatif Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan tuntutan sivil untuk merampas aset-aset yang “terlibat dalam atau boleh dikesan kepada komplot antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.

Tuntutan DoJ itu menamakan beberapa individu, termasuk seorang pegawai yang digelar Malaysian Official 1 (MO1). Penganjur mahu pihak berkuasa individu berkenaan dikenalpasti, dan kemudian dihadapkan ke muka pengadilan.

Ditanya samada pentadbiran universiti akan mengambil tindakan terhadap siswanya yang menyertai perhimpunan itu nanti, kenyataan itu menjelaskan:

“Langkah ini (pohon siswa tidak terbabit demonstrasi jalanan) tidak bermaksud bahawa pihak pengurusan menyekat hak kebebasan demokratik pelajar.

“Sebagai pemimpin masa depan, sepatutnya para pelajar menzahirkan hasrat dan keinginan mereka menerusi saluran tertentu.”

Media melaporkan polis memberi kelulusan kepada perhimpunan itu selepas perbincangan dengan penganjur mencapai kata sepakat.

Jurucakap penganjur #TangkapMO1 berkata tunjuk perasan itu hanya akan berlangsung selama dua atau tiga jam.

Media turut melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya akan membenarkan himpunan diadakan di Padang Merbok.

PAUTAN:

Kami mahu ‘tangkap MO1’ di Dataran, bukan tempat lain, kata penganjur

Anak muda harap KPN bantu jayakan himpunan #TangkapMO1