Lelaki penggal nenek didakwa di mahkamah

penggal-nenek

KOTA TINGGI: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh neneknya di Felda Penggeli Timur, di sini, awal bulan ini.

Muhamad Hafizie Azmee, 19, dituduh membunuh Maimon Abdul Samad, 76, di sebuah rumah di Jalan Biru 1, Felda Penggeli Timur, antara 6 pagi dan 6.30 petang, 9 Ogos lepas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Hafizie yang kelihatan tenang, mengangguk memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafiuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September depan untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Mahkamah turut membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya supaya tertuduh dirujuk kepada pakar psikiatri Hospital Permai di Johor Bahru bagi memastikannya sempurna akal sebelum dibicarakan.

 

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/16/lelaki-penggal-nenek-dilanjutkan-reman-4-hari/