Malaysia tawar ‘pakej Kabali’ tarik pelancong India

kabali

CHENNAI: Tourism Malaysia dengan AirTravel Enterprises India Limited (ATE) memperkenalkan pakej “Malaysia-Kabali” sebagai satu daripada strategi promosi terkini untuk menarik pelancong India ke Malaysia.

Filem ke-159 bintang Tamil, Rajinikanth itu mendapat sambutan hebat dan secara tidak langsung mempromosikan lokasi-lokasi menarik Malaysia kepada masyarakat di India serta peminatnya di seluruh dunia.

Noor Azman Samsudin, Pengarah Tourism Malaysia India Selatan/Sri Lanka, berkata pakej pelancongan 4 hari/3 malam bermula pada harga 24,900 rupee (RM1,500) seorang, tidak termasuk harga tiket kapal terbang, bertujuan menarik sejuta pelancong dari India ke Malaysia tahun ini.

“Tourism Malaysia dan ATE mahu pelancong India datang sendiri ke Malaysia dan mengunjungi lokasi penggambaran filem hebat itu.

“Sebab itulah pakej ini diperkenalkan khusus untuk peminat Rajni supaya mereka dapat sendiri mengalami keseronokan berada di lokasi-lokasi itu seperti yang dialami oleh Rajinikanth,” beliau memberitahu Bernama.

Noor Azman ditemui sewaktu majlis pelancaran jerayawara Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) di India untuk meningkatkan bahagian pasaran pelancong India.

Program promosi dan pemasaran 6 hari Bangalore dan Chennai berakhir pada 13 Ogos lepas.

Industri pelancongan India untuk rakyat India yang melancong ke luar negara meningkat 15-20% setahun. Ia dianggarkan meningkat kepada sekitar 50 juta pelancong menjelang 2020.

Dalam filem Kabali, Rajinikanth yang nama sebenarnya Shivaji Rao memainkan watak ketua penjahat, Kabaliswaran yang semakin tua dan menjalankan kegiatan jenayahnya di Malaysia.

Penggambaran filem yang diarah oleh Pa. Ranjith ini dibuat di beberapa lokasi di Malaysia termasuk Kuala Lumpur dan Pulau Carey.

Beberapa pelakon tempatan seperti Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan serta Winston Chao dari Taiwan turut membintangi filem ini.

Noor Azman memberitahu Bernama, pakej Malaysia-Kabali menawarkan lawatan ke beberapa tempat tarikan yang ada kaitan dengan filem itu seperti Menara Berkembar Petronas, Batu Caves, KLCC, Lounge Lobi Grand Salon Hotel Palace of Golden Horses, Kelab Diraja Selangor, Melaka dan Pulau Carey.

Sebagai tambahan, India adalah pasaran penting untuk Malaysia dan pada masa ini berada pada kedudukan keenam dari segi jumlah pelancong yang melawat Malaysia.

Dengan adanya program promosi sepanjang tahun di samping pakej Kabali, Noor Azman berkata bilangan pelancong India ke Malaysia dijangka meningkat.

Untuk suku pertama tahun 2016, jumlah pelancong India ke Malaysia jatuh sebanyak 4.7% kepada 168,922 orang.

Pada tahun 2015, seramai 177,253 pelancong India berkunjung ke Malaysia pada suku pertama tahun itu. Jumlah pelancong India ke Malaysia untuk seluruh tahun 2015 ialah 722,141.

Sementara itu, Naib Presiden ATE (Percutian), J. Manoj Dass berkata selepas Rajinikanth, seorang lagi bintang Kollywood, Suriya Sivakumar juga memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk penggambaran bagi filem susulannya dalam francais Singham 3.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, beliau berkata Suriya dan pasukan pengeluarannya terdiri daripada 40 orang akan melakukan penggambaran beberapa adegan dan nyanyian pada penghujung Ogos di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Malaysia memang destinasi terbaik untuk pelancongan filem berdasarkan kemudahan pengeluaran yang ada serta masyarakat yang mesra di samping kesamaan kebudayaan dengan negara lain.

“Lokasi di sini juga boleh menjimatkan kos antara 30% hingga 40%,” katanya.

Dengan pengalaman 21 tahun sebagai pengurus lokasi filem, Manoj yang juga terlibat dalam pengeluaran Singham 1 dan 2 berkata ATE dan Tourism Malaysia sedang menyediakan pakej Suriya untuk peminat beliau melancong ke Malaysia.

“Seperti Singham 2, penggambaran adegan klimaks dibuat di Malaysia, Singham 3 juga akan memaparkan beberapa babak penting di Menara Berkembar Petronas, Menara KL dan beberapa bangunan tinggi,” katanya.

Tambah Manoj, pembuat filem India juga menunjukkan minat terhadap Legoland Malaysia Resort yang terletak di Nusajaya, Johor untuk digunakan sebagai latar belakang bagi filem mereka.

Di samping Kabali and Singham 3, penggambaran filem “Iru Mugan” yang dibintangi aktor India Selatan yang terkenal, Vikram turut dilakukan di Malaysia pada awal tahun ini.

Beberapa filem Bollywood popular juga mempunyai penggambaran di Malaysia seperti Don dan Don 2, Fanna, Dil Maange More, Hum Kisi Se Kum Nahin, Humraaz dan Yaadein.

Sebahagian besar filem Shah Rukh Khan, “Don” dibuat penggambarannya di Malaysia termasuk penjara Melaka, Menara Berkembar Petronas dan jambatan gantung di Langkawi.