Polis mungkin dapat robot dan dron, kata Zahid

Zahid-Hamidi_Khalid-Abu-Bakar_drones_polis_600

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti aset moden yang diperlukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam era kepolisan moden kini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata kementeriannya menerima cadangan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkaitan penambahbaikan kekuatan PDRM seperti pembelian robot dan dron.

“Kita akan meneliti semua aset yang diperlukan seperti penggunaan robot dan dron dapat dilaksanakan. Namun ia tertakluk kepada kelulusan dan bajet yang diberikan Kementerian Kewangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum itu, Zahid berucap menutup Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) yang diadakan sempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016 yang bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Persidangan itu memberi tumpuan kepada kreativiti dan inovasi bagi menggubal dan melaksanakan dasar dan inisiatif nasional di samping menampilkan ucaptama, perbincangan panel oleh pemimpin negara, penceramah terkenal dan pakar-pakar di peringkat global dari seluruh dunia.

Semalam, sewaktu di luar acara ICBOS, Khalid berkata menjadi impian mereka agar masa depan kepolisian dapat dinaiktarafkan dan ditingkatkan melalui teknologi moden seperti robot dan dron yang dibangunkan negara lain.