Sanjeevan minta SPRM siasat firma senjata milik abang ketua polis

sanjeevanPUTRAJAYA: Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat syarikat berkaitan senjata api yang dikaitkan dengan keluarga ketua polis negara.

Berbekalkan dokumen pendaftaran Akademi Menembak Unggul, Sanjeevan berkata, ia dapat membuktikan syarikat itu dimilik Abdullah Abu Bakar yang merupakan abang kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya, dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu turut menamakan Abdullah bersama empat yang lain sebagai pengarah akademi itu.

“Saya sudah menyerahkan satu set dokumen SSM kepada SPRM. Di dalamnya menyatakan akademi itu mempunyai modal berbayar RM400,000.

“Ia didaftarkan pada 1 November 2013, enam bulan selepas Khalid menjadi pegawai polis tertinggi negara.

“Kami menggesa SPRM menyiasat jika lesen operasi akademi itu dikeluarkan Khalid sendiri dan jika ia mendapat sebarang kontrak kerajaan,” katanya selepas membuat laporan itu.

Sanjeevan merujuk dakwaan Sarawak Report pada 22 April lalu yang anak perempuan Khalid, Juwiza dan iparnya, Mohd Isa Hussin adalah pemilik bersama syarikat senjata api, Nilai Arms and Ammunitions Sdn Bhd.

“Anak perempuannya didakwa menjual senjata api, manakala abangnya melatih orang cara menggunakan senjata api.

“Jadi, kami harap SPRM akan menyiasat dua syarikat yang dikaitkan dengan Khalid dan jika ia ada kaitan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, SPRM perlu memandang serius laporan itu, khasnya ketika jumlah kes tembakan yang jelas meningkat sejak Khalid mengetuai pasukan polis.

Sanjeevan berkata, ini adalah laporan pertamanya ke atas ketua polis negara, tetapi bukan yang terakhir, malah beliau bercadang membuat laporan lain kepada SPRM ke atas Khalid, minggu depan.

Khalid pernah menyangkal dakwaan wujud konflik kepentingan antara jawatannya dengan syarikat anaknya kerana ia ditubuhkan sebelum beliai menjadi ketua polis negara.

Khalid juga berkata, beliau melarang syarikat itu menyertai sebarang tender kerajaan.