Suhakam: Dakwaan tahanan wanita Kemboja didera memalukan

razali-suhakam-1

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memandang serius laporan dakwaan penyeksaan dan kematian di pusat tahanan imigresen Juru, Pulau Pinang dan memberi jaminan untuk menyiasat perkara yang dianggap ngeri dan memalukan kerajaan.

“Kami akan menyiasat. Ia adalah mandat kami,” ujar Pengerusi Suhakam, Razali Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan dua tahanan wanita Kemboja di pusat berkenaan yang akui pegawainya menyalahgunakan kuasa dengan mendera dan memukul seorang tahanan wanita yang lain sehingga mati.

Razali berkata, kejadian itu amat memalukan seluruh masyarakat.

“Saya tidak menuding jari pada kerajaan, tetapi mari kita sama-sama melihat cara untuk mencegah tahanan lain daripada menjadi mangsa,” katanya pada majlis Persidangan Masyarakat Sivil dan Keselamatan Negara di sini pada Rabu.

Dakwaan penyalahgunaan tersebut diketengahkan oleh kumpulan hak-hak pekerja Kemboja dalam satu laporan berita akhbar, Cambodia Daily.

Kedua-dua mereka melapor perkara itu selepas dihantar pulang ke Kemboja pada bulan Jun lalu.

Bagaimanapun Kementerian Luar Negeri Kemboja pula dilapor menyangkal dakwaan wanita tersebut memandangkan hanya dua daripada 33 rakyat Kemboja kekal di pusat tahanan.

Kemboja menghentikan penghantaran rakyatnya bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia pada tahun 2011 selepas tuntutan dakwaan didera oleh majikan Malaysia dan agensi pekerjaan.

Bagaimanapun, pada bulan Jun tahun ini, Kemboja sekali lagi menawarkan diri menghantar pembantu rumah ke Malaysia, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akui menerima tawaran itu.