Wanita dan kanak-kanak sasaran rekrut IS

Sidney-Jones-isis-1

KUALA LUMPUR: Lebih ramai wanita dan kanak-kanak di Asia direkrut sebagai militan Islamic State (IS), kata Pengarah Institut Analisis Polisi Konflik Jakarta, Sidney Jones.

Jelas beliau, pengambilan itu lazimnya dibuat melalui perkahwinan.

“Ia adalah sebahagian daripada kaedah yang digunakan untuk keluar dari rantau Asia,” katanya pada Persidangan Masyarakat Sivil dalam Keselamatan Negara di sini Rabu.

Institut Jones merujuk kepada perkembangan keganasan yang semakin menjadi-jadi di Indonesia baru-baru ini.

Katanya memberi contoh, wanita yang kematian suami selepas dibunuh sewaktu berjuang untuk kumpulan militan akan menerima lebih banyak permintaan lelaki lain yang bersedia mengahwininya kerana status sosialnya meningkat naik selepas pasangannya mati syahid.

Cabaran lain pula, ialah kemunculan “role model” di Indonesia, tambah Jones.

“Sesiapa yang menjadi punca insiden keganasan di Asia Tenggara akan dihormati.

“Sebahagian daripada “role model” di Indonesia mempunyai sejarah merentasi sempadan. Sesetengah daripada mereka pula mewujudkan hubungan yang baik di penjara.

“Selepas keluar dari penjara, mereka mewujudkan semula rangkaian mereka di Basilan, selatan Filipina,” katanya kepada peserta persidangan itu.

Menurut Jones, salah satu cara membantutkan rangkaian keganasan dalam penjara ialah dengan menghentikan rasuah dalam kalangan pegawai di penjara.

“Ini akan membantu mana-mana dokumen atau telefon bimbit digunakan oleh banduan untuk berkomunikasi dengan pengganas lain,” katanya.

Jones juga mendedahkan pekerja asing turut digunakan untuk merekrut dan mewujudkan rangkaian IS.

Beliau tidak menolak kebanyakan mereka terdiri daripada orang-orang baik, hanya mahu menjana pendapatan, tetapi ada yang mengambil peluang untuk mengaitkan mereka dengan kumpulan pengganas.

Beliau berkata adalah amat penting untuk menghentikan ancaman selepas wanita dan kanak-kanak direkrut menyertai operasi keganasan ini.