Warden penjara perlu kuat, elak terpengaruh IS

fatul-bari

KUALA LUMPUR: Warden penjara perlu diberi latihan daripada segi kerohanian, mental dan fizikal agar mereka tidak terpengaruh dengan banduan yang mempunyai latar belakang dalam kegiatan kumpulan pengganas IS.

Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata walaupun banduan berkenaan ditempatkan di lokap berasingan, namun kecenderungan untuk mempengaruhi warden penjara amat tinggi.

“Maka, pengawal penjara perlu dilatih dengan pemahaman betapa seriusnya isu ini (IS). Mereka ditugaskan menjaga banduan, maka mereka perlu lebih tegas dan tidak sesekali terpengaruh dengan banduan.

“Ini berikutan sebelum ini terdapat kes ada pengawal penjara pernah didekati banduan yang ada hubung kait dengan militan IS di Jordan. Alhamdulillah, di Malaysia masih dalam terkawal dan cuma kebimbangan kerana ia pernah berlaku di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas persidangan ‘Civil Society Conference on National Security’ di sini hari ini.

Katanya, banduan berkenaan juga dapat mempengaruhi pengawal penjara dengan menonjolkan keterampilan atau sikap alim seperti menunaikan solat, cara percakapan seperti orang alim bagi ‘mencairkan’ pengawal.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 236 orang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 dan 11 daripadanya di bawah POTA.