Azizulhasni, MB Terengganu akan bertemu bincang isu ‘Roadbike’

azizulhasni-razif

SEPANG: Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang yang juga pemenang pingat gangsa acara keirin di Olimpik Rio, meminta semua pihak tidak memanjangkan isu beliau dengan Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Ahmad Razif mengenai isu berkaitan permohonannya mendapatkan penajaan basikal ‘Roadbike’ sebagai persediaan ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, selepas pulang ke Terengganu nanti.

“Saya tidak mahu komen isu ini. Saya percaya beliau menteri besar yang prihatin kepada rakyat. Mungkin ada salah faham dan terlepas pandang. Bagi masa kepada saya dan beliau untuk duduk berbincang,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Selepas memenangi pingat gangsa dalam acara keirin pada temasya berprestij dunia itu baru-baru ini, Azizulhasni meluahkan kekecewaannya terhadap Ahmad Razif yang dikatakan tidak melayani permohonannya membeli ‘Roadbike’ untuk digunakan sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Rio, dalam laman Facebook beliau.

“Janganlah dipanjangkan isu yang kecil itu…biarlah kejayaan saya ini menjadi inspirasi kepada semua.

“Seorang bertubuh kecil dari negara kecil yang berjuang dari Olimpik 2008 sehingga kini. Pelbagai cerita suka duka yang saya harungi untuk meraih pingat di Olimpik kali ini,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Azizulhusni, 28, sebaliknya berharap kejayaannya meraih pingat gangsa Olimpik di Brazil dapat menggalakkan golongan muda menceburi sukan berbasikal.

“Saya mengamalkan perkara yang diajar idola saya Nabi Muhammad. Baginda mengajar sesuatu yang kita tidak dapat lihat dan berusaha untuk melihat apa yang kita percaya,” katanya.

Pautan:

Terima kasih MB kerana tidak bantu saya, kata Azizulhasni

MB Terengganu mohon maaf tidak tahu permintaan Azizulhasni