Bekas CEO Sime Bank dipenjara, gagal bayar denda RM600K

ceo

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Sime Bank Datuk Ismail Zakaria terpaksa bermalam di Penjara Kajang hujung minggu ini selepas gagal menyelesaikan denda RM600,000 yang ditetapkan mahkamah hari ini.

Dalam pesanan teks kepada FMT, peguamnya Kitson Foong berkata keluarga anak guamnya kekurangan RM140,000 untuk membayar denda hari ini.

“Mereka akan kembali ke mahkamah pada Isnin untuk menyelesaikan keseluruhan denda itu,” katanya.

Terdahulu Pesuruhjaya Kehakiman Ab Karim Ab Rahman memberi amaran kepada Ismail jika gagal membayar denda, beliau terpaksa dipenjarakan 10 bulan bagi setiap empat pertuduhan.

Ketika merayu, Kitson memohon mahkamah mengenakan hukuman denda, bukannya penjara kerana keadaan kesihatan Ismail yang tidak mengizinkan.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Daud bersetuju Ismail tidak diberi hukuman penjara. Sebaliknya, pihak pendakwaan mohon denda tertinggi memandangkan Sime Bank kini sudah terkubur.

Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman denda RM600,000 terhadapnya kerana didapati bersalah ke atas empat pertuduhan berkaitan kemudahan pinjaman berjumlah RM175 juta.

Ab Karim berkata mahkamah hanya mengenakan hukuman denda terhadap Ismail kerana beliau kini berkerusi roda selepas diserang strok.

Pada September 2011, Mahkamah Sesyen membebaskan Ismail daripada pertuduhan berkaitan meluluskan kemudahan kredit berjumlah RM175 juta kepada satu syarikat pelaburan, Everise Capital Sdn Bhd.

pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/19/bekas-ceo-bank-didenda-rm600k-kerana-hutang-rm175-juta/