Bilik gerakan pantau jerebu diaktifkan, kata menteri

mahdzir

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan mengaktifkan bilik gerakan kecemasan sejak dua hari lepas bagi memantau keadaan jerebu terutama di kawasan sekolah.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi tujuan itu.

“Setakat ini tiada apa-apa lagi (jerebu)…indeks (Indeks Pencemaran Udara) semakin meningkat tapi tak berapa jelas menunjukkan (memberi) apa-apa kesan lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Bahagian Umno Kota Bharu kali ke-22 di Bangunan Umno Kelantan di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Umno Kota Baharu Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilapor sebagai berkata beliau akan memaklumkan kepada negara jiran Indonesia mengenai kebakaran tanah serta hutan di Sumatera tengah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan di beberapa kawasan di Malaysia.

Selasa lepas, jerebu kembali melanda beberapa kawasan di Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan berikutan titik panas terus meningkat di Indonesia.

Ditanya mengenai penutupan sekolah jika masalah jerebu semakin serius, Mahdzir berkata ia bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kementerian itu berhubung sesuatu bencana.

“Ada tatacara dan peraturan sama ada tutup atau tak tutup (sesebuah sekolah yang dilanda jerebu). Ini kira jauh lagi (daripada jerebu serius) dan masih awal lagi (untuk tutup sekolah),” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya Mahdzir berkata hampir 60 dekad kemerdekaan negara, pelbagai kejayaan telah dikecapi terutama membabitkan bidang pendidikan khususnya bagi masyarakat yang tinggal di luar bandar.

Beliau berkata kejayaan yang dikecapi itu hasil perpaduan antara kaum dan sikap taat kepada pemimpin serta tidak membuat sesuatu yang boleh menghuru-harakan negara.

 

Pautan:

Jerebu: Indeks udara sederhana, paling tinggi di Klang

Indonesia kerah pasukan 24 jam lawan kebakaran hutan