Fitch kekalkan penarafan ‘A-‘ ke atas Malaysia dengan unjuran stabil

fitch-malaysia

KUALA LUMPUR: Fitch Ratings mengesahkan penarafan kemungkiran penerbit mata wang asing dan tempatan jangka panjang (IDR) Malaysia pada ‘A-‘ dengan unjuran stabil, mencerminkan kedudukan kredit luaran bersih yang kukuh di negara ini.

Agensi penarafan kredit itu berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia juga kekal kukuh berbanding median ‘A’ rakan yang turut dinilai manakala akaun semasa masih dalam lebihan walaupun angkanya berkurangan.

“Ekonomi terus perlahan, dan Fitch mengunjurkan pertumbuhan KDNK sebenar sebanyak empat peratus pada 2016, turun daripada lima peratus pada tahun lepas.

“Bagaimanapun, pertumbuhan purata sebenar KDNK masih kekal kukuh daripada median ‘A’,” katanya, dan menambah permintaan penggunaan swasta dan perbelanjaan berterusan ke atas projek-projek strategik oleh syarikat kerajaan dan milik
negara, akan meningkatkan pertumbuhan.

Ini akan menangani sebahagian daripada tekanan penurunan permintaan luar yang lemah, kata agensi penarafan kredit itu.

Fitch menegaskan pengukuhan fiskal yang berterusan, menyokong penstabilan dalam nisbah hutang kerajaan dan defisit persekutuan.

Sementara itu, Fitch juga mengesahkan bon mata wang asing dan tempatan tidak bercagar senior Malaysia masing-masing pada ‘A-‘ dan ‘F1’, manakala IDR mata wang tempatan jangka pendek pada F1.