Gejala sosial meningkat, kemanusiaan terhakis

hilmi-yahaya_kanak2_600

KUALA LUMPUR: Kes yang dirujuk ke Hospital Selayang melibatkan gejala sosial semakin meningkat sejak 2014 dengan kes penderaan kanak-kanak dan keganasan seksual antara yang tertinggi.

Timbalan Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata hospital itu menerima 59 kes penderaan kanak-kanak, 37 kes keganasan seksual dan 29 kes pesakit ditinggalkan di wad sepanjang 2014.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia turut memantau statistik berhubung kes penderaan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, penyakit kronik, keganasan seksual dan pesakit terdampar.

“Saya menyeru masyarakat kembali kepada nilai kemanusiaan iaitu mengutamakan kasih sayang dalam membentuk masyarakat beradab. Fenomena nilai kemanusiaan semakin terhakis di kalangan rakyat.

“Apabila sudah tiada kemanusiaan maka timbul perasaan negatif yang tidak baik seperti perbuatan kejam dan penderaan,” katanya pada sidang akhbar Sambutan Hari Kemanusiaan Sedunia peringkat Hospital Selayang di sini hari ini.

Hilmi berkata fenomena gejala sosial yang berlaku di negara sejak akhir-akhir ini juga amat membimbangkan apabila manusia menjadi semakin kejam.

“Sehingga ada yang sanggup mengerat bayi sebelum dibuang ke lubang tandas, bahkan orang tua yang tidak berdaya juga menjadi mangsa.

“Manusia makin kejam dan ganas sehingga sanggup melakukan perbuatan seperti rogol, bunuh, bakar mayat serta membuangnya di merata tempat,” katanya.

Mengulas kejadian menimpa Noor Amila Edrus Norsham di mana mayatnya ditemui di Kampung Kemensah semalam, Hilmi berkata kejadian itu mungkin terjadi disebabkan si pelaku mungkin berada di bawah pengaruh dadah.

“Pelaku mungkin tidak dapat mengawal perasaan hingga tergamak melakukan perkara sekejam itu,” katanya.

Mayat Noor Amila yang hilang sejak minggu lalu ditemui dengan kepalanya terpisah daripada badan.