Ibu Nurin Jazlin dan ibu Noor Amila berkongsi sedih

Noor AmilaKUALA LUMPUR: “Hati ibu mana yang tidak sedih apabila kehilangan anak dengan cara macam itu,” luah Norazian Bistaman, 44, ibu kepada arwah Nurin Jazlin Jazimin yang dibunuh kejam pada 2007 mengenai kematian Noor Amila Edrus Norsham.

“Saya simpati dengan apa yang menimpa dan berharap mereka bersabar dan tabah atas ujian Allah ini,” katanya.

Noor Amila Edrus, 5, yang hilang sejak 11 Ogos di Jinjang Utara, ditemui di kawasan semak di Kampung Kemansah, Hulu Kelang di sini tengah hari semalam dengan kepalanya terpisah daripada badan.

Norazian berkata pada Sabtu lepas beliau sempat melawat ibu kanak-kanak itu Siti Nursharmila Tengku Hanafiah, 46, di Jinjang Utara, selepas mendapat berita mengenai kehilangan kanak-kanak itu untuk memberi kata-kata semangat.

Namun, katanya tidak disangka nasib sama menimpa keluarga berkenaan.

Nurin Jazlin berusia 9 tahun pada masa dia hilang pada 20 Ogos 2007, selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Hanya pada 17 September 2007, mayat anaknya yang tidak berbaju dipercayai menjadi mangsa deraan seksual, ditemui pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya.

Mangsa dibunuh 24 jam sebelum mayatnya ditemui dalam beg yang ditinggalkan di tangga premis perniagaan tiga tingkat itu.

Norazian berkata beliau menerima hakikat Nurin Jazlin sudah tiada dan berharap ibu Noor Amila Edrus serta keluarganya reda atas pemergian kanak-kanak itu.

Kehilangan kanak-kanak itu pada malam Khamis lalu selesai solat Maghrib di surau berhampiran rumahnya dikaitkan dengan ahli keluarganya sendiri.

Seorang lelaki yang mempunyai hubungan dengan keluarga mangsa yang ditahan membawa pihak polis ke lokasi penemuan mayat kanak-kanak itu.

Norazian berkata beliau meminta masyarakat supaya mengambil iktibar atas kes kehilangan kanak-kanak di negara ini.

“Sesiapa dah kena akan serik tetapi yang lain tolong beringat pastikan anak kecil kita nak ke mana-mana ditemani orang dewasa,” katanya.

Norazian berkata sehingga kini beliau masih mengingati dan merindui anak kedua daripada lima beradik yang digelar ‘kak ngah’ itu.

“Saya teringin nak mimpi jumpa kak ngah… kalau arwah masih ada dia berusia 17 tahun dan akan menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merekodkan sebanyak 567 kes kanak-kanak di bawah 18 tahun hilang sejak awal Januari sehingga 31 Mei tahun ini.

Daripada jumlah itu, 374 kanak-kanak berjaya ditemui semula manakala 193 lagi kanak-kanak di seluruh negara masih hilang dan sedang dikesan polis.

Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) yang mengutuk kejadian itu, menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman maksimum terhadap pesalah yang terlibat dalam kes pembunuhan Noor Amila Edrus.

Pengerusinya Halim Ishak yang turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa berharap ibu bapa lebih berhati-hati mengenai keselamatan anak-anak mereka sama ada di rumah, sekolah ataupun di tempat umum.

“Jenayah tidak mengenal usia mangsa, daripada sekecil-kecil bayi sehinggalah warga emas,” katanya dalam kenyataan.

 

pautan

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/18/mayat-kanak-kanak-di-kemensah-sah-noor-amila/