Kupon makanan, BR1M tak selesaikan masalah kemiskinan

azlan awangPETALING JAYA : Saranan supaya kerajaan memperkenalkan sistem makanan berkupon dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam bajet 2017 bagi membantu meringankan beban golongan miskin tegar mendapatkan makanan hanya dapat menguruskan masalah tetapi bukan menyelesaikannya.

Pengasas bersama dan penyelidik Blindspot Azlan Awang berkata, cara menyelesaikan kemiskinan seharusnya lebih struktural.

“BR1M contohnya harus berkembang menjadi sistem ‘mencapai pendapatan hidup melalui pemindahan tunai’ berdasarkan kaedah ‘cukai pendapatan negatif’.

“Pungutan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih RM30 bilion dilaporkan mampu menampungnya.

“Sebagai contoh, gaji dan upah wajib ditingkatkan melalui mekanisme gaji minima pada kadar lebih tinggi daripada RM1,000 sedia ada kepada tahap RM1,800 pada 2020,” katanya kepada FMT hari ini.

Selain itu, katanya peluang pekerjaan juga perlu diperluaskan dengan mengawal kemasukan pekerja asing.

“Banyak lagi kaedah boleh dilaksanakan. Maka dalam bajet 2017 kita harap kedua-dua pendekatan jangka pendek dan pendekatan struktural diketengahkan,” katanya.

Sebelum ini Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dilaporkan mencadangkan kerajaan memperkenalkan sistem makanan berkupon dalam Bajet 2017 bagi membantu meringankan beban golongan miskin tegar mendapatkan sumber kehidupan utama, makanan.

The New Straits Times melaporkan cadangan kupon itu berbeza dengan BR1M yang diberikan kepada individu layak dalam bentuk wang tunai.

Pada 20 Mei, kerajaan Selangor melancarkan program setem makanan bertujuan membantu 5,600 keluarga berpendapatan rendah di negeri ini secara rasmi.

Azlan berkata cadangan menteri besar Perlis mengadakan sistem makanan berkupon itu baik dan menunjukkan keprihatinan dan ‘belas kasihannya’ terhadap masalah rakyat.

“Kita mahu lihat lebih ramai pemimpin seperti menteri besar Perlis meneliti, menghayati dan mengatasi masalah rakyat sepertimana Khalifah Omar Al-Khatab meronda ke segenap pelosok masyarakat pada waktu malam dengan menyamar mencari rakyat dalam kesusahan dan keperitan hidup,” katanya.

Katanya, segala usaha jangka pendek yang dapat membantu rakyat mengatasi masalah harian mereka khususnya berpunca daripada kemiskinan, pendapatan rendah dan kos sara hidup yang meningkat wajar dialu-alukan.