MO1: Nawawi sedia semuka pengkritik

Datuk Nawawi AhmadPETALING JAYA: Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad sedia bersemuka dengan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya yang didakwa mengaitkan Yang di-Pertuan Agong kepada label Malaysian Official 1 (MO1).

Nawawi baru-baru ini mencetuskan kontroversi dengan mengatakan menurut Perlembagaan Persekutuan, “Agong ialah MO1” di Facebook. Beliau kemudian memadamkannya tetapi ia masih boleh dilihat dengan menekan butang “edited” di ruangan komen di Facebooknya.

Malaysian Official 1 disebut dalam aduan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, yang mahu merampas aset yang “terlibat dalam atau boleh dikesan kepada satu komplot antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.

“Saya sedia memberi penjelasan kepada mana-mana pihak secara bersemuka sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan kenyataan saya sebelum ini berhubung (M01) bagi menjernihkan keadaan,” katanya.

Bercakap kepada FMT, Nawawi dalam masa sama turut membidas tindakan Wira Perkasa yang cuba mengembar gemburkan isu walaupun sudah dinafikannya.

“Desakan Perkasa untuk ditarik gelaran ‘Datuk’ sebagai usaha terdesak dan tidak berasas,” katanya, merujuk kepada salah satu permohonan dalam memorandum Wira Perkasa kepada Yang di-Pertuan Agong petang tadi.

Antara kandungan memorandum itu ialah menggesa Seri Paduka mengambil tindakan terhadap kenyataan Nawawi demi menjaga nama baik institusi Raja-raja Melayu, dan mahu gelaran Datuk yang diberi kepada Ahli Parlimen Langkawi ditarik balik.

Sebelum ini, bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendesak Nawawi memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan “khianat” itu.

Sejumlah lapan laporan polis dibuat terhadapnya setakat ini, termasuk oleh bekas ahli Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin.

Nawawi turut membuat laporan polis mendakwa kenyataannya diputar belit.