Mustahil Riza Aziz punyai pertalian keluarga dengan Agong

Irwan Fahmi Ideris

PETALING JAYA: Mustahil Riza Aziz yang dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) dalam aduan komplot pengubahan wang dan pelesapan dana 1MDB punyai pertalian kekeluargaan dengan Yang di-Pertuan Agong, kata Perkasa hari ini.

Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia Irwan Fahmi Ideris berkata sebarang cubaan mengaitkan Riza kepada Istana Negara tidak menepati fakta aduan.

Ahli Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad baru-baru ini mencetuskan kontroversi dengan mengatakan menurut Perlembagaan Persekutuan, “Agong ialah MO1” di Facebook. Beliau kemudian memadamkannya tetapi ia masih boleh dilihat dengan menekan butang “edited” di ruangan komen di Facebooknya.

“Maka kami NGO Perkasa memohon ampun perkenan kebawah duli Tuanku untuk mengambil tindakan perundangan ke atas fitnah yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Langkawi tersebut demi menjaga nama baik institusi beraja negara kita,” kata Irwan dalam satu kenyataan hari ini.

Nama Riza, bersama beberapa individu ternama lain termasuk Low Taek Jho (Jho Low), disebut dalam aduan DoJ, yang mahu merampas aset yang “terbabit dalam atau boleh dikesan kepada suatu komplot antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.

DoJ turut memasukkan seorang individu – yang ada pertalian kekeluargaan dengan Riza – dalam aduannya, dan diberi gelaran Malaysian Official 1 (MO1).

“Kita cabar Ketua Polis Negara, setelah beberapa laporan polis dibuat, jangan simpan kes ini, kita mahukan tindakan,” tegas Irwan. Perkasa turut mahu gelaran Datuk wakil rakyat BN itu ditarik balik.

Nawawi ketika dihubungi FMT menafikan cuba mengaitkan Riza kepada Sultan Abdul Halim. Sebelum ini, Nawawi membuat laporan polis mendakwa kenyataannya diputar belit.

 

PAUTAN:

Saya tak kata MO1 itu Agong, kata Nawawi