Pokemon Go risiko luar biasa, kata timbalan menteri kesihatan

Hilmi-Yahaya_pokemon_600

KUALA LUMPUR: Aplikasi realiti berperantara Pokemon Go mendorong Timbalan Menteri Kesihatan meminta pemain supaya mempertimbangkan potensi bahaya permainan itu dalam dunia sebenar.

Malah, pemerhatian peribadi beliau mendapati ada pemain yang bermain secara tidak bertanggungjawab.

“Tidak kira di dalam pusat beli belah ataupun tepi jalan, orang berkejar ke satu tempat ke tempat lain tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Ini perkara membimbangkan,” kata Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dalam satu sidang media, di sambutan Hari Kemanusiaan peringkat Hospital Selayang hari ini.

Hilmi yang baru tiba dari Pulau Pinang memberitahu pengalaman menyaksikan fenomena Pokemon Go di sana sesuatu yang luar biasa.

Pemerhatiannya sejajar dengan saranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tentang risiko kemalangan ketika bermain Pokemon Go.

Dibangunkan Niantic Inc., permainan sembunyi-sembunyi ini mencetuskan gelombang baharu dalam sejarah permainan realiti berperantara. Pemain perlu mencari dan berlawan dengan watak maya berdasarkan lokasi dunia sebenar yang dikesan melalui telefon pintar.

Pada 9 Ogos lalu di Taman Lembah Keramat, seorang wartawan – dipercayai mangsa pertama Pokemon Go – cedera apabila motosikal yang ditungganinya terlanggar jalan berlubang, kerana terlalu leka mengejar raksasa ‘Charmander’.

Di Sungai Petani, Kedah, kelekaan menyebabkan dua pemburu raksasa cedera di kepala, muka, tangan dan kaki akibat dirempuh sebuah kereta dalam satu kejadian langgar lari 12 Ogos lalu.

Namun begitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang untuk melarang permainan itu.

“Dari sudut psikologi, perkara ini masih baru dan pihak KKM akan buat kajian. Masih terlalu awal,” ujar Hilmi, dan berpesan kepada pemain jangan taksub bermain hingga mengabaikan interaksi fizikal sesama insan.

Pokemon Go dilancarkan secara rasmi pada 6 Julai tahun ini di Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat, sebelum merebak ke lebih 30 negara sekarang.