Program transformasi SPAD tak jejas jualan Proton

ahmad-fuaad_spad_teksi_proton_600

PETALING JAYA: Proton yakin perniagaannya tidak terjejas susulan Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) awal minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata keputusan kerajaan membenarkan model kereta lain digunakan sebagai teksi memberi “kesan minimum” kepada pengeluar kereta nasional itu, petik laporan The Malaysian Reserve hari ini.

“Jualan kereta kita dalam segmen teksi tidak besar berbanding dengan jualan tahunan secara keseluruhan,” kata Ahmad, petik akhbar harian kewangan.

Beliau juga mendedahkan Proton hanya menjual 3,000 unit kenderaan kepada syarikat teksi pada tahun lepas dengan Persona menjadi pilihan utama.

Sewaktu melancarkan pelan pembaharuan teksi, SPAD berkata pengusaha boleh memilih model kereta yang lain selain Proton untuk digunakan sebagai teksi.

Sementara itu, sekumpulan pemandu teksi pula menyifatkan, kebenaran menggunakan jenama kereta lain sebagai teksi bercanggah dengan objektif yang ditetapkan oleh kerajaan dalam program Teksi 1Malaysia (TEKS1M).

“Peraturan baharu ini bercanggah dengan objektif SPAD sebelum ini yang hanya mahu menggunakan Proton Exora untuk program TEKS1M,” kata Naib Presiden Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia, Kamaruddin Mohd Hussain.

“Proton sentiasa menawarkan harga berpatutan bagi kenderaannya yang digunakan sebagai teksi. Kita seharusnya berbangga dengan jenama Malaysia dan kami mahu mempromosi jenama kebangsaan.

“Tidak ramai pemandu teksi yang mampu menggantikan teksi mereka dengan jenama lain” katanya.