Rosmah sempat utus surat kepada beregu Malaysia di Rio

Goh V Shem-Tan Wee KiongRIO DE JANEIRO: Beregu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong mendapat suntikan semangat menjelang final apabila menerima surat ucapan tahniah dan syabas daripada isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Sukan Olimpik Rio di sini pada Rabu.

Selaku penaung Persatuan Badminton Malaysia, beliau bersama Datuk Seri Najib Tun Razak serta keluarga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada dua pemain itu yang berjaya menempah tempat ke final.

V Shem-Wee Kiong akan menentang beregu China, Fu Haifeng-Zhang Nan pada perlawanan merebut pingat emas di Pavilion 4, Riocentro di sini, Jumaat.

Selain beregu tersebut, Rosmah turut mengutuskan surat kepada beregu campuran negara, Chan Peng Soon and Goh Liu Ying yang berjaya merangkul pingat perak.

“Buktikanlah kepada dunia akan kemampuan yang ada pada diri saudara dan teruskan menyuntik semangat ‘Malaysia Boleh’,” demikian petikan surat tersebut.

Chef-de-mission Tan Sri Muhamad Al Amin Abdul Majid menyampaikan surat berkenaan kepada kedua-kedua beregu berkenaan di Perkampungan Sukan di sini.