SPRM, Ahli Parlimen DAP sambar penipu unit PPR

lim-lip-eng_sprm_600KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melakukan operasi memberkas penipu menjual pangsapuri kos rendah yang tidak wujud di Jinjang Selatan.

Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng mengumumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan SPRM untuk menangkap penipu terlibat.

Menurut wakil rakyat Segambut itu, pelaku meminta upah RM37,000 untuk “pintas” Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beli unit program perumahan rakyat (PPR) bernilai RM42,000.

Hartanah seperti itu laris kerana dijual pada harga rendah meskipun terletak di kawasan strategik.

Sekumpulan 20 anggota SPRM terlibat dalam operasi yang menyaksikan seorang anggota dan Setiausaha DAP Cawangan Segambut Lai Chun Chian menyamar sebagai pembeli untuk memerangkap penipu terbabit.

“Kami berurusan di luar sebuah firma guaman di Kepong. Sebaik sahaja wang dibayar kepada penipu, SPRM dengan serta-merta tangkap mereka,” kata Lip Eng kepada pemberita hari ini.

Ketika berita ditulis belum dapat disahkan berapa ramai yang dikutip SPRM untuk membantu siasatan.

Ketua Cawangan DAP Segambut Yew Jia Haur berkata penipu turut membawa mangsa mereka ke satu kawasan pembinaan yang terletak di Taman Sejahtera, Jinjang Selatan.

Penipu terbabit kemudian akan menunjukkan papan pemberitahuan DBKL kepada mangsa dan mendakwa kawasan itu merupakan kawasan pembinaan projek PPR.

“Kemudian mereka akan bawa mangsa ke firma guaman untuk menandatangani perjanjian jual beli. Tiada peguam hadir pada masa itu.

“Mereka hanya berurusan di luar firma guaman itu. Mangsa kemudian bayar sogokan kepada mereka.”

Lip Eng dan Jia Haur menghubungi DBKL yang mengesahkan projek itu tidak wujud.

“Tiada projek PPR di Jinjang Selatan, hanya di Jinjang Utara. Sekalipun ada projek PPR di Jinjang Selatan, DBKL sama sekali tidak benarkan urusan ‘under-table’,” kata Lip Eng.

Ketika ditanya identiti penipu terbabit, Jia Haur berkata SPRM tidak mahu dedahkan identiti mereka dan pendakwaan akan dibuat dalam masa terdekat.