Yang penting kebolehan, bukan pangkat ‘ulama’ atau ‘ustaz’

Abdul-Ghani-Samsudin.

PETALING JAYA: Ulama ada peranan dalam parti politik tetapi perlu berhati-hati tidak mengulangi kesilapan pimpinan PAS dalam menguruskan kuasa golongan agamawan dan profesional, kata Timbalan Penasihat Umum Amanah, Abdul Ghani Samsudin.

Sebaliknya, bekas naib presiden PAS yang pernah menerajui Persatuan Ulama Malaysia itu berkata seseorang itu perlu dinilai daripada keupayaannya sendiri dan bukan kerana pangkat keagamaan.

“Kita tidak harus terpedaya dengan pangkat, gelaran dan panggilan ulama atau ustaz tanpa melihat dan menimbang keupayaan atau kepintaran politik yang sebenar yang dimiliki oleh seseorang.

“Jika tidak, akan berlaku kesilapan dan kepincangan dalam meletakkan kepercayaan sehingga berlaku kerosakan pada imej Amanah,” kata Ghani, yang kini bersama parti ditubuhkan tahun lalu oleh beberapa bekas pemimpin PAS.

Katanya, pengalaman dalam PAS mengajar pimpinan Amanah berhati-hati dalam memperincikan peranan beberapa jawatan tinggi parti baharu itu.

“Saya yakin pengalaman pimpinan atasan Amanah dalam mengalami beberapa cubaan dan karenah pimpinan politik dalam parti sejarah (PAS) memberi ketajaman daya berfikir dan kebolehan untuk merumuskan kaedah terbaik dalam menyusun atur hubungan profesional dengan ulama secara yang lebih berkesan demi mencaturi tindakan pengurusan dan politik parti,” katanya dalam wawancara bersama portal pro-Amanah, Malaysia Dateline.

Ghani turut menegur sikap sesetengah umat Islam yang cepat menerima “logik mudah, semberono dan serampangan” menjadikan mereka gagal berkawan dan bertindak ekstrem.

Katanya, antara sebabnya ialah amalan hanya merujuk kitab lama karya sarjana Islam zaman lampau, yang tidak semestinya dapat diguna pakai dalam menghadapi realiti semasa.

“Buku-buku rujukan perlu lebih semasa dan dari kalangan ilmuan zaman sekarang.

“Jika tidak maka akan berlaku salah faham, salah terap dan salah konteks dalam memahami dalil-dalil syarak yang pelbagai dan boleh membawa banyak maksud dan implikasi.”

Menurut Ghani, perubahan geopolitik dunia memerlukan memerlukan kaedah berfikir yang sangat “kritis dan bijak” di samping kesabaran dan kebolhan mengurus pertikaian yang rumit.

Katanya, Amanah hadir sebagai wadah berpaksikan Islam selepas PAS hilang kredibiliti dalam mengambil alih kepimpinan politik negara daripada Barisan Nasional (BN).

“Ini bermakna wajib ada wadah atau parti Islam lain yang baru untuk mengembalikan perjuangan Islam pada posisinya yang kukuh dan berkemungkinan untuk menang melalui suatu tahaluf atau pakatan yang dipercayai oleh rakyat, yang mampu bertarung dan menggantikan BN.

“Oleh kerana tidak mungkin BN dikalahkan melainkan melalui pakatan pembangkang, maka mewujudkan dan mengukuhkan semula kehadiran pakatan pembangkang adalah suatu kewajiban dan kemestian,” katanya.

Amanah ditubuhkan beberapa bulan selepas muktamar PAS tahun lalu menyaksikan persengketaan terbuka antara penyokong Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menentang kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat, dan golongan yang mahu PAS terus kekal dalam pakatan itu.

Selepas kekalahan terus golongan pro-Hadi, bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin veteran lain menubuhkan Amanah, dan meneruskan kerjasama dengan DAP dan PKR menerusi Pakatan Harapan.