Ceramah saja tak cukup lawan IS, kata menteri agama

PETALING JAYA: Golongan agamawan dan pihak berkuasa negara ini tidak seharusnya menjadikan pendekatan konvensional seperti berceramah menerusi forum semata-mata untuk menentang fahaman kumpulan militan IS.

Sebaliknya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyaraf Wajdi Dusuki berkata pendekatan baharu seperti menguasai teknologi media sosial perlu dijadikan fokus utama seperti yang dilakukan IS, untuk menarik umat Islam bersama mereka.

“Pendekatan kita haruslah holistik, bukan hanya ceramah semata-mata, pendekatan kita balas ideologi dia (IS). Kita tidak boleh guna pendekatan ceramah, kalau ceramah siapa nak dengar.

“Hari ini orang baik-baik mungkin dengar tetapi masyarakat menggunakan media kerana media sosial mempunyai pelbagai bentuk, paparan dan rupa bentuk.

“Pendekatan sebegini kita guna sebagaimana IS memanfaatkannya. Pendekatan kita juga harus setanding IS,” katanya menerusi wacana bahayanya IS yang disiarkan di RTM malam tadi.

Katanya, golongan agamawan dan cendekiawan berpengaruh harus menggunakan pendekatan berbeza dengan menyampaikan hujah mereka berdasarkan fakta menerusi media sosial tentang bahayanya IS.

“Mereka yang berpengaruh bukan setakat cakap di seminar atau ceramah kerana sepatutnya digembleng dengan fakta, bukan lagi bidang Islam dalam sifat longgar, hanya bercakap mengenai ibadah, solat dan sebagainya tetapi harus mula bercakap tentang isu berkaitan keselamatan yang lebih luhur.

“Sebab saya lihat dalam konteks kita nak mendepani isu IS ini, tidak cukup dengan hanya kita membuat peraturan atau undang-undang bersifat preventif atau melakukan tangkapan semata-mata, tetapi kena ada kerangka besar kerana kita berdepan dengan ideologi yang menyeleweng,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata sasaran utama IS bagi negara ini ialah Tan Sri Khalid Abu Bakar, kerana menganggap ketua polis negara itu sebagai penghalang mereka menubuhkan negara Islam.

“Saya rasa kalau nak dibandingkan dengan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) saya rasa mereka tidak mengeluarkan ancaman secara langsung kepada individu dengan menyebut nama sebagaimana IS.

“Kalau dalam konteks IS ini yang menjadi sasaran paling utama IGP, kedua saya, ketiga pengarah saya dan seterusnya pemimpin negara yang dilabelkan sebagai murtad, darah mereka halal untuk dibunuh, kerana mereka menghalang perjuangan IS menubuhkan negara Islam, kononnyalah.

“Saya juga nak menasihatkan rakyat di luar sana jangan terlalu takut dan terlalu bimbang, kita akan terus menjalankan operasi, hampir setiap bulan ada tangkapan sekiranya cukup maklumat,” katanya.