Jangan terpedaya gambar cantik di kotak produk

hidrokuinonPETALING JAYA: Bahan kimia hidrokuinon yang mudah didapati di negara jiran mendorong banyak syarikat kosmetik dalam negara ini mengambil kesempatan meletakkannya dalam produk kecantikan masing-masing dan menjualnya pada harga rendah, terutama menerusi jualan online.

Pakar Kulit dan Kecantikan Dr Alina Hasni Rashid berkata kebanyakan produk kecantikan menggunakan hidrokuinon berlebihan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan hasil dikehendaki dalam masa singkat.

Beliau berkata 80% pesakitnya yang datang mendapatkan rawatan berdepan masalah akibat penggunaan produk kecantikan yang dibeli di laman sosial.

“Di luar negara, hidrokuinon dijual borong dengan harga rendah. Maka banyak perusahaan kosmetik ambil peluang ini untuk membuat keuntungan. Sepatutnya kandungan hidrokuinon yang dibenarkan hanya 4% tetapi bagi mendapatkan kesan cepat, mereka letak lebih.

“Ini termasuk penggunaan steroid dalam produk. Saya akui ia mampu membuatkan kulit wajah menjadi cantik namun jika digunakan melebihi empat minggu, ia akan menipiskan kulit sekali gus membuatkan saraf terdedah lalu menjadi lebih sensitif,” katanya kepada FMT.

Dr Alina berkata hidrokuinon memang komponen tepat untuk mencantikkan wajah namun tidak seharusnya dipakai di seluruh muka dan ia hanya disapukan di permukaan yang mahu dirawat saja.

Katanya, apa yang pengguna tidak tahu ialah penggunaan hidrokuinon perlu mendapat nasihat pakar dan di bawah pemerhatian doktor bertauliah.

“Berdasarkan pengalaman saya, pengguna produk di bawah harga pasaran ini akan berakhir dengan masalah jeragat serta Nodulocystic Acne iaitu masalah jerawat teruk yang memerlukan pantauan doktor pakar.

“Majoriti wanita yang mendapatkan rawatan di klinik mengadu, produk yang dipakai menunjukkan kesan meyakinkan hanya pada minggu pertama. Masalah pertumbuhan jerawat menyusul selepas minggu seterusnya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya orang ramai khususnya wanita yang menggunakan produk tempatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran berhenti menggunakannya.

“Harus diingat, wajah perlu diberi perhatian demi kegunaan jangka masa panjang.

“Kalau anda boleh melabur beli tudung beratus ringgit, apa salahnya dapatkan produk kosmetik berkualiti dan paling penting mendapat kelulusan KKM,” katanya.