Kemenangan bermaruah, V Shem-Wee Kiong hadiahkan perak untuk Malaysia

W.K. Tan and V. S. GohRIO DE JANEIRO: Harapan Malaysia menamatkan kemarau 60 tahun emas Olimpik tidak kesampaian apabila pasangan beregu lelaki tewas bermaruah di tangan China menerusi perlawanan penentuan 21-16,21-11,23-21 dalam acara badminton beregu lelaki dalam temasya Sukan Olimpik Rio lewat tengah malam tadi.

Walaupun gagal memenangi emas, namun pingat perak sudah cukup menggembirakan rakyat Malaysia dengan kejayaan Goh V Shem-Tan Wee Kiong menghadiahkan pingat perak ketiga buat negara.

Pasangan negara patut diberi pujian apabila memberi tentangan sengit hingga ke titisan keringat terakhir.

Dalam perlawanan 65 minit itu Beijing bermula garang mendahului 7-3 namun pemain negara bangkit mempamerkan corak permainan agresif sebelum kembali memimpin perlawanan mendahului 13-8 sebelum melakukan asakan untuk mencatatkan kemenangan pada pusingan pertama 21-16.

Tersentak dengan kekalahan pada pusingan pertama, beregu China Fu Haifeng-Zhang Nan mula mengasak sebelum menewaskan V Shem-Wee Kiong 21-11.

Pertarungan sengit mengheret ke pusingan ketiga. Perlawanan bermula seimbang, apabila kedua pasangan saling berbalas serangan sebelum pasangan China mendahului dengan 11-8.

Kedudukan itu terus dicabar V Shem-Wee Kiong apabila kembali merapatkan jurang 12-12,sebelum gandingan China melengkapkan kemenangan sekali gus merangkul kejuaraan dalam aksi penuh mendebarkan itu.

Langkah Malaysia memburu emas tidak terhenti di situ, apabila terdahulu malam tadi jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke pusingan akhir perlawanan badminton perseorangan lelaki selepas menumpaskan seterunya Lin Dan.

Dalam perlawanan penuh debar itu, Chong Wei menang dengan keputusan 15-21, 21-11 dan 22-20, sekali gus menebus kekecewaan pada Olimpik 2012 di London empat tahun lalu.

 

pautan

Badminton: Beregu Malaysia ke perlawanan akhir