Puteri Intan Safinaz galakkan dialog cari titik persamaan antara agama

safinaz-Tuanku_islam_600

KUALA LUMPUR: Dialog peradaban secara berterusan perlu digalakkan bagi menangani isu seperti Islamofobia, kata Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.

Menurut baginda, kebelakangan ini wujud jurang yang semakin meluas dari segi pemahaman terhadap agama, manakala Islam menjadi fokus berikutan berlakunya pelbagai kejadian keganasan.

Baginda bertitah, Islam juga digambarkan sebagai agama yang menganjurkan kebencian dan menolak toleransi, sedangkan perkara itu jauh tersasar daripada kebenaran dan oleh itu, keadaan itu perlu diatasi.

“Kita perlu menangani perbezaan dengan cara yang paling bertamadun. Kebencian kerana agama tidak sepatut wujud. Dialog peradaban perlu digalakkan, bukan untuk mencari perbezaan, tetapi mencari titik persamaan,” titah baginda.

Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah demikian ketika menyampaikan titah diraja pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Pengajian Antarabangsa (ICIS) 2016 di sini hari ini.

Baginda menyifatkan serangan terbaru di beberapa bandar raya Eropah dan tempat lain sebagai akibat daripada radikalisasi yang dipupuk selama beberapa tahun, perasaan tidak dipedulikan, ditekan dan disalah faham.

“Jika trend ini berlarutan, ia akan merosakkan lagi hubungan antara umat Islam dengan seluruh dunia,” titah baginda, sambil menegaskan bahawa Malaysia sentiasa percaya bahawa prinsip kesederhanaan atau ‘wasatiyyah’ merupakan sesuatu yang perlu menjadi amalan, termasuk dalam memupuk semangat tolak ansur dalam bidang agama dan politik.

Dalam titah baginda, Tunku Puteri Intan Safinaz juga menyentuh tentang pentingnya tadbir urus baik dan integriti, keprihatinan terhadap nasib orang pelarian dan fenomena migrasi, di samping perlunya membuat persiapan untuk menjadi sebahagian daripada komuniti serantau.

Dianjurkan Pusat Pengajian Antarabangsa UUM, persidangan dua tahun sekali selama dua hari itu yang berakhir esok, bertujuan memudahkan pertukaran idea tentang isu kontemporari dalam bidang pengajian antarabangsa.