Terpengaruh siaran radio Batam, 2 warga Singapura ingin jadi IS

Internal Security Act (ISA)SINGAPURA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mendapati dua rakyat republik ini yang berhasrat ke Syria, untuk berjuang di sisi kumpulan pengganas IS adalah pendengar setia satu stesen radio berasaskan agama yang disiarkan dari Batam, Indonesia.

New Straits Times (NST) Singapura melaporkan pencuci kereta Rosli Hamzah, 50, dan Mohamed Omar Mahadi, 33, seorang pemandu lori sampah didakwa menjadi radikal selepas kerap mendengar stesen Radio Hang.

Stesen itu dikatakan turut diikuti pendengar di Johor Baru dan Singapura, kadangkala menampilkan penceramah yang mempunyai pandangan ekstrem terhadap agama.

Dua lelaki terbabit ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didapati berhasrat ke Syria untuk berjuang bersama kumpulan pengganas itu.

MHA dalam kenyataannya berkata Rosli mula mendengar stesen radio itu pada 2009 dan diperkenalkan kepada propaganda IS pada Ogos 2014 oleh “kenalan di media sosial yang berkongsi orientasi agamanya”.

“Dia mula berminat dengan jihad bersenjata dan IS, dan mencari lebih banyak maklumat propaganda IS di Internet, serta memberi sokongan untuk IS berkembang. Dia akhirnya yakin yang militan IS berjuang untuk Islam, dan memenggal kepala ‘musuh’ dibenarkan agama,” katanya.

Omar mula mendengar stesen radio yang sama pada 2010, dan terjumpa propaganda ideolog Anwar al-Awlaki daripada al-Qaeda pada 2012.

“Pada 2014, Omar yakin perjuangan IS membawa gemilang kepada Islam, dan tanggungjawabnya untuk menjadi pejuang IS di Syria. Dia bersedia untuk mati syahid,” kata kementerian.

NST melaporkan mereka didapati mendapatkan maklumat secara online bagaimana hendak ke Syria bagi berjuang untuk IS dengan Rosli mencari laluan ke Syria sementara Omar menghubungi beberapa militan bagi mendapatkan nasihat perjalanan.

Salah seorang militan yang dihubunginya itu ialah rakyat negara Asia Tenggara yang kemudian terbunuh dalam pertempuran dengan Syria, kata kementerian.

Dian Faezah Ismail, isteri Omar ialah salah seorang daripada warga Singapura yang diletakkan di bawah Perintah Sekatan, di mana pergerakan dan aktivitinya akan dikawal.

Wanita 34 tahun itu, sama seperti suaminya, percaya yang tindakan ganas kumpulan militan itu adalah sah dan dia juga membantu Omar dalam rancangannya memindahkan keluarga mereka ke Syria.

Seorang lagi dikenakan Perintah Sekatan ialah juruteknik bangunan, Mohamad Reiney Noor Mohd, 26, yang menemui bahan berkaitan IS secara online dan kemudian bersedia untuk mati dalam perjuangan untuk kumpulan militan itu sejak 2014.

Reiney juga berniat untuk membawa keluarganya ke Syria dan menyimpan wang untuk ke sana, kata kementerian. Dia kemudian membatalkan niatnya selepas dipujuk ahli keluarga.

Kementerian berkata Reiney dan Dian akan menjalani kaunseling agama sepanjang berada di bawah Perintah Sekatan.

Setakat ini, 18 warga Singapura dan empat Bangladesh kini ditahan di bawah Perintah Tahanan dan 24 lagi dikenakan Perintah Sekatan, berkaitan pengganas dan IS.