Gerakan: Bersih, Baju Merah buat himpunan di stadium bukan di jalanan

mah-siew

KUALA LUMPUR: Datuk Mah Siew Keong bersetuju himpunan Bersih 5 dan kumpulan baju merah dengan syarat ia diadakan di kawasan yang tidak mengganggu ketenteraman awam.

Presiden Gerakan berkata, beliau menghormati hak untuk bersuara dan menyampaikan pandangan namun penganjur himpunan harus mempertimbangkan kesan buruk yang bakal diterima.

“Kita ingin tegaskan, tidak akan menyokong himpunan di tengah pusat bandar,” katanya dalam sidang media, di Majlis Perwakilan Gerakan Wilayah Persekutuan, hari ini.

Ujarnya, demonstrasi di pusat bandar akan menjejaskan ekonomi selain turut memberi imej buruk kepada negara.

“Ia menyebabkan keadaan sesak dan menjejaskan perniagaan selain menakutkan para pelancong yang yang berada di sini.

“Sudahlah kita dicabar dengan keadaan ekonomi yang tidak baik, oleh itu kita kena pastikan negara aman dan kedatangan pelancong serta pelabur tidak dihalang dengan aktiviti seperti ini,” katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga berkata, penganjur demonstrasi Bersih 5 dan himpunan baju merah boleh berdemonstrasi di stadium.

“Jika mahu berdemonstrasi mana-mana pun boleh buat, stadium pun boleh buat. Kita hendak sampaikan mesej, jadi tak perlu pergi ke tengah bandar untuk sampaikan mesej,” katanya.