Presiden arah pemimpin Gerakan Pulau Pinang kunci mulut

mah
KUALA LUMPUR: Pemimpin Gerakan Pulau Pinang diarah berhenti mengeluarkan kenyataan kepada media kerana ia akan dijadikan modal politik oleh musuh dan seterusnya melemahkan parti, kata presidennya, Datuk Mah Siew Keong.

“Saya juga meminta tidak ada lagi kenyataan media daripada semua pihak kerana semua yang kita perkatakan akan digunakan musuh.

“Jika terus mengeluarkan kenyataan kepada umum dan musuh, kita akan meneruskan pencapaian sedia ada, iaitu tidak mempunyai kerusi di Pulau Pinang.

“Saya akan pergi ke Pulau Pinang dalam masa dua minggu lagi untuk bertemu semua pimpinan dan delegasi dalam satu mesyuarat tertutup. Dalam mesyuarat itu, kita boleh kritik secara jujur dan ikhlas,” katanya ketika berucap di mesyuarat perwakilan Gerakan Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, sudah menjadi amalan Gerakan untuk berbincang segala masalah melalui mesyuarat tertutup.

Gerakan mentadbir Pulau Pinang sehingga parti itu mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum 2008 kepada Pakatan Rakyat dan tampuk kepimpinan kerajaan negeri bertukar tangan kepadaDAP.

Khamis lalu, Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Dr Thor Teong Gee melepaskan semua jawatan dalam parti itu, kerana terlalu kecewa dengan masalah dalaman, termasuk perebutan kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau tiada pilihan kecuali mempertahankan integritinya secara terbuka selepas mendakwa pemangku Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong “menyerangnya secara peribadi” menerusi akhbar berbahasa Cina.

Dalam perkembangan sama, Mah menjelaskan, beliau dimaklumkan mengenai hasrat Thor untuk meletak jawatan melalui mesej ringkas.

Bagaimanapun, sehingga kini beliau belum bersemuka dengan Thor dan berjanji akan menemuinya dalam masa terdekat.