Wanita parah, rumah hampir musnah akibat letupan tong gas

letup

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri melecur di beberapa bahagian badan apabila tong gas memasak meletup pagi tadi dan hampir memusnahkan rumah mereka di Klang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, insiden kira-kira jam 6.40 pagi itu tidak menyebabkan kebakaran, tetapi merosakkan sebahagian besar dapur serta tingkat atas rumah teres dua tingkat di Taman Saga, Meru, Klang itu.

“Lelaki berusia 50 tahun dan isterinya berusia 48 tahun berada di ruang dapur semasa tong gas meletup.

“Letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas itu amat kuat dan menyebabkan 90% kediaman mereka rosak teruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan.

Menurut laporan China Press pula, wanita itu mengalami kecederaan parah kerana melecur 80% dan kini dalam keadaan kritikal, manakala tiga anaknya terselamat.

Lima rumah berdekatan turut mengalami kerosakan 30 hingga 40%.