Penyanyi kontroversi Namewee direman 4 hari

namewee-tangkapGEORGE TOWN: Penyanyi rap kontroversi Namewee ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes klip video di sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, yang didakwa menghina Islam.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, dibawa ke mahkamah Pulau Pinang pada pukul 10.25 pagi, dengan tangannya digari di belakang dan dipimpin oleh dua orang pegawai polis.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah (Jenayah) Ahmad Tajudin Zaini mengeluarkan perintah reman empat hari bagi membolehkan polis menyoal Namewee di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Namewee berusia 33 yang berasal dari Johor ditahan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang semalam dan dibawa ke Pulau Pinang.

Menurut Ketua Polis George Town ACP, Mior Faridalathrash Wahid, penangkapan itu adalah untuk membantu penyiasatan muzik video kontroversi Namewee “Oh My God”.

Klip video berdurasi 4.05 minit diarah dan diterbitkan oleh Namewee untuk sebuah kumpulan band dari Taiwan, Nine-One-One dirakam di beberapa tempat ibadat di Pulau Pinang.

Video yang menjadi viral itu bagaimanapun membangkitkan rasa marah orang ramai dengan kira-kira 20 NGO membuat laporan polis terhadap penyanyi rap yang juga pernah mencetuskan kontroversi melalui videonya sebelum ini, “Negaraku” yang mengejek lagi kebangsaan.

 

Video credit: Tong Tzee’s youtube page

Berita berkait:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/21/namewee-ditahan-di-klia/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/04/penggodam-muatnaik-oh-my-god-yang-belum-disunting-kata-namewee/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/04/yasin-namewee-bukan-hina-islam-cuma-ekspresif/