Khairy: Atlet berjuang untuk negara, bukan wang

khairy-jamaluddin-rio-1

SEPANG: Insentif wang adalah perkara terakhir difikirkan atlet negara ketika beraksi di Olimpik Rio yang berakhir Isnin lalu, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, tiada atlet negara yang membangkitkan isu ganjaran dan insentif sepanjang seminggu beliau berada di Brazil.

“Insentif adalah perkara terakhir difikirkan mereka. Setiap kali jumpa mereka, mereka tidak pernah bertanya tentangnya.

“Bagi mereka, pencapaian mereka adalah untuk negara,” katanya pada sidang media selepas majlis menyambut kepulangan 32 atlet Olimpik negara di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang tadi.

Khairy turut mendedahkan perbualannya dengan Datuk Lee Chong Wei di Rio, di mana jaguh badminton negara itu enggan membincangkan kenaikan insentif untuk atlet berpencapaian tinggi.

“Sebelum perlawanan akhir double, saya tanya beliau, mungkin kalau kita tambah insentif, ada sesuatu yang kita akan dapat daripada mereka.

“Chong Wei kata jangan, kita buat semua ini untuk negara, tidak perlu bincang soal ini,” katanya.

Sementara itu, pemenang pingat perak dalam acara badminton perseorangan lelaki di Olimpik Rio itu menyuarakan penghargaan terhadap sokongan padu ditunjukkan rakyat yang merupakan motivasi kepada atlet.

“Saya mahu berterima kasih kepada penyokong saya. Saya kecewa dengan diri yang mendapat pingat perak tiga kali berturut-turut.

“Tetapi, saya amat gembira. Walaupun kalah, kami masih ada peminat yang memberi galakan kepada kami. Ini adalah motivasi buat atlet. Saya harap kami boleh kekalkannya.

“Ini kali pertama badminton mempunyai pencapaian begini. Kali ini kita tidak dapat pingat emas, mungkin kita boleh menang pingat emas pada Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Mengenai perancangan masa depannya, Chong Wei berkata, beliau tidak mahu memikirkannya ketika ini kerana mahu bercuti terlebih dahulu.

“Saya akan cuba untuk kali terakhir untuk Kejohanan Dunia tahun depan. Dalam fikiran saya, hanya ada satu lagi. Saya tahu saya kalah dalam Kejohanan Dunia dua kali sebelum ini,” katanya.

Chong Wei meraih pingat perak buat kali ketiga berturut-turut di Sukan Olimpik bermula 2008 di Beijing, 2012 di London dan tahun ini di Brazil.

PAUTAN:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/24/wira-olimpik-negara-bakal-terima-tambahan-rm200k/