Jangan guna biasiswa bungkam suara siswa

anis-mara-1

PETALING JAYA: Ancaman tindakan tegas terhadap pemegang biasiswa Mara yang menyertai tunjuk perasaan #TangkapMO1 Sabtu lalu adalah tidak adil dan tidak wajar.

Jurucakap himpunan itu, Anis Syafiqah Md Yusof berkata siswa terlibat sekadar mengamalkan hak demokrasi mereka dan tidak melanggar peruntukan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Jelasnya Auku mengizinkan siswa terlibat dengan gerakan politik selagi ia tidak dilakukan dalam kampus universiti.

“Siswa berhak melibatkan diri dalam himpunan aman. Tidak adil kalau mereka dihukum hanya kerana memegang biasiswa,” katanya.

“Biasiswa tidak sepatutnya diperalatkan untuk bungkam suara pelajar universiti.

“Sekiranya pemerintah kata siswa dibiayai oleh wang kerajaan, saya mahu ingatkan mereka wang itu wang rakyat.”

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ismail Sabri Yaakob beri amaran hari ini, namun setakat ini tiada laporan yang diterimanya berhubung pembabitan siswa Mara.

Lebih 2,000 orang, kebanyakannya belia bawah umur 30 tahun, menyertai tunjuk perasaan itu yang mendesak pihak berkuasa mengenalpasti dan mendakwa Malaysian Official 1, yang disebut dalam laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengenai dakwaan penggelapan wang 1MDB.

Penganjur memohon kebenaran untuk berhimpun di Dataran Merdeka tetapi ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menyebabkan peserta menunjuk perasaan di jalanraya yang mengelilingi padang itu.

Ditanya samada penganjur mahu meneruskan rancangan sesi penerangan isu 1MDB untuk orang awam dan siswa universiti swasta di seluruh negara, Anis berkata: “Tentu sekali.”

Tambahnya, pemegang biasiswa Mara yang bimbang biasiswa ditarik balik boleh untuk tidak melibatkan diri.

Bagaimanapun, Anis berjanji mereka yang berdepan masalah kerana menghadiri himpunan aman 27 Ogos lepas tidak akan bersendirian.

“Kita akan pertahan kawan kita dan pastikan keadilan terlaksana.

“Kita boleh tunjukkan pada kerajaan yang siswa tidak boleh dibeli dengan mudah.”