Umno khianat sebab itu kami masuk DAP, kata ahli Melayu DAP

dap-umno

PETALING JAYA: Tindakan Umno yang mengkhianati dan tidak mempedulikan nasib orang Melayu mendorong mereka menyertai DAP, kata sekumpulan ahli Melayu parti itu.

Kumpulan 14 orang itu mengeluarkan kenyataan bersama membidas Ketua Pemuda Wilayah Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii didakwa mengatakan DAP tidak pernah menghormati orang Melayu dan akan terus bersikap demikian jika memiliki kuasa.

Mereka meminta Razlan melihat masyarakat sekeliling dan menyedari semakin ramai orang Melayu sedar Umno yang “meletakkan mereka di bawah telapak kaki” parti itu.

“Melayu di bawah Umno diternak seperti ayam daging, diberi dedak sehigga gemuk dan sihat, sebelum disembelih dengan masalah seperti GST, 1MDB serta ancaman ekonomi lain.

“Ayam yang dibela Umno ini disumbat rasa takut hilang kuasa dan takut kepada Cina. Inilah Melayu yang dididik Umno agar boleh disembelih dengan mudah bagi melanjutkan kuasa elit dalam parti itu,” kata kenyataan itu.

Razlan didakwa mengatakan demikian dalam wacana ‘Politik Malaysia: Di mana Melayu?” anjuran Sinar semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan antaranya oleh Ahli Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan Dyana Sofya, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Young Syefura Othman dan Edry Faizal Eddy Yusof, dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang Syerleena Abdul Rashid.

Mereka menggesa Razlan supaya mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan meninggalkan Umno.

“Umno-lah masalahnya sekarang, dan Razlan serta juak-juaknya wajar mengikut jejak langkah Mahathir meninggalkan parti berkarat itu, berbanding menjunjungnya sebagai parti keramat,” kata mereka.