Berjasa: 95% koperasi Bank Rakyat milik Melayu, tapi sektor tak tumbuh

mustafa-kamal-pac-bank-rakyat

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa menyiasat Bank Rakyat susulan penahanan dua pegawai kanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan RM15 juta.

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) berkata siasatan itu menunjukkan wujud kepincangan dalam entiti di bawah kawalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu.

“Kita tak mahu perkara ini (kepincangan) berulang dua kali lagi,” kata Datuk Seri Dr Mustapa Kamal Maulut, merujuk kepada kes pecah amanah membabitkan Pengerusi Bank Rakyat Datuk Seri Harun Idris, Pengarah Urusan Abu Mansor Basir dan Pengurus Besar Ismail Din pada 1977.

“Inilah satu-satunya institusi kewangan dimiliki majoritinya orang Melayu,” katanya pada sidang medianya di sini hari ini.

“Kita mahu ketelusan, kredibiliti kerana kebanyakan daripada anggota Bank Rakyat ini adalah lantikan daripada kerajaan. Kalau kita lihat, pengerusi pun adalah bekas penglima anggota tentera.”

Sebelum ini, Pengerusi Bank Rakyat, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa berjumlah RM15 juta.

Beliau orang kedua daripada pengurusan tertinggi bank berkenaan yang ditahan SPRM selepas Pengarah Urusan Datuk Mustafha Abd Razak.

Presiden Berjasa menambah parti akan menghantar surat gesaan kepada PAC Isnin depan. Menurut Berjasa, 95% daripada sektor koperasi di bawah bank kawalan kerajaan itu dimiliki orang Melayu, bersamaan 900,000 ahli.

“Keuntungan bersih (sektor koperasi) lebih kurang 123 bilion. Malangnya sektor koperasi ini tidak ada pertumbuhan langsung. Dalam masa 10 tahun ini, tidak ada pertumbuhan,” kata Timbalan Presiden Berjasa Dr Ariffin Mansor.

“Manakala sektor koperasi di Singapura, New Zealand, Australia sektor koperasi menyumbang kepada pertumbuhan negara tetapi tak ada di Malaysia.

“Jadi secara tak langsung kerajaan telah mengenepikan, abaikan sektor koperasi kita yang 95% orang Melayu kita,” katanya.

PAUTAN

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/31/terpalit-rasuah-ini-bukan-skandal-pertama-landa-bank-rakyat/