Polis perlu panggil Rahman, Najib, kata siswa #TangkapMO1

Anis-Syafiqah-Mohd-YusofPETALING JAYA: Polis digesa berlaku adil dan siasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak susulan pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Kumpulan siswa #TangkapMO1 berkata rakyat akan hilang kepercayaan terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang sekiranya polis berdiam diri.

“Polis hanya mengambil masa selama 2 hari selepas himpunan untuk memanggil pihak-pihak yang dirasakan terlibat (dalam himpunan #TangkapMO1),” kata jurucakapnya, Anis Syafiqah Mohd Yusof dalam satu kenyataan hari ini.

Sembilan individu dipanggil polis, susulan tiga dakwaan yang dikenakan terhadap penganjur himpunan Tangkap Malaysian Official 1 di Dataran Merdeka, 27 Ogos lepas.

“Kenapa begitu cepat individu yang terlibat dengan himpunan #TangkapMO1 dipanggil untuk siasatan tetapi pendedahan mengenai perompak duit rakyat ini masih dibiarkan begitu sahaja?” soal Anis.

Semalam, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata MO1 merujuk kepada Najib.

“Saya sudah nyatakan secara terbuka. Kalau dokumen (D0J) itu dibaca, ia merujuk kepada perdana menteri,” katanya dalam wawancara bersama badan penyiaran Britain, BBC.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bagaimanapun berkata nama Najib tidak disebut kerana beliau bukan sebahagian daripada siasatan.

“Terdapat orang lain yang dinamakan… dan Jabatan Kehakiman akan membawanya ke mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.

Pada 20 Julai, DoJ memfailkan saman untuk merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Dokumen DoJ setebal 130 muka surat itu menamakan beberapa individu, termasuk anak tiri Najib, Riza Aziz, yang didakwa menggunakan berjuta dolar daripada 1MDB bagi pengeluaran filem Hollywood “The Wolf of Wall Street”.

Dokumen tersebut tidak menamakan Najib, tetapi menyebut “MO1” sebanyak 36 kali, yang sering dikaitkan dengan Najib, walaupun disangkal beberapa pemimpin Umno.

Pada 27 Ogos, lebih 2,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar berkumpul di Kuala Lumpur menuntut kerajaan menamakan identiti MO1 dan mengambil tindakan.

Dalam kenyataannya, #TangkapMO1 memberi masa dua hari kepada polis untuk memanggil dan menyiasat Najib dan Rahman.