Bertemu Anwar, 2 bekas aktivis reformasi anggap Dr M terdesak

chegubard-lokman-adam-mahathir

PETALING JAYA: Dua bekas aktivis reformasi menyifatkan pertemuan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuktikan bekas perdana menteri itu sudah terdesak.

Mereka berkata Dr Mahathir kehilangan punca dalam usahanya menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyebabkan beliau mengambil tindakan bertemu Anwar.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin berkata pertemuan itu tidak akan membawa apa-apa makna selagi Dr Mahathir tidak memohon maaf kepada Anwar dan rakyat Malaysia.

“Dr Mahathir tiada jalan lain untuk berdepan dengan suasana politik kini yang sudah betul-betul santak ke dinding.

“Dr Mahathir perlu pulangkan semua harta yang dirompak daripada rakyat. Dia tidak boleh menipu persepsi rakyat dengan tiba-tiba muncul di mahkamah hari ini,” kata bekas ahli PKR yang baru dipecat itu ketika dihubungi FMT.

Selepas 18 tahun sejak pemecatan Anwar, kedua-dua tokoh itu bertemu buat kali pertama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tengah hari tadi ketika perbicaraan kes saman Anwar terhadap pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kedua-duanya dilihat bersalaman dan beramah mesra sambil disaksikan sejumlah pemimpin pembangkang seperti Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan juga bekas naib ketua cawangan Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Sementara itu, bekas setiausaha Pemuda PKR Datuk Lokman Noor Adam menyatakan rasa terkejutnya terhadap perkembangan itu.

“Dr Mahathir yang saya kenal dan lawan selama 18 tahun adalah seorang yang cukup tinggi egonya. Ini menunjukkan beliau terlalu terdesak, dan kehabisan idea untuk menjatuhkan Najib kecuali dengan bersama orang yang pernah dipecat dan hina.

“Jika Anwar sanggup memaafkan dan bersatu dengan Dr Mahathir sekalipun, pembangkang tetap tidak akan mempunyai satu suara untuk berdepan BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya yang kini menjadi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

pautan: 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/05/anwar-hargai-dr-mahathir-baik-hati-hadir-ucap-selamat/