2 pegawai tertinggi Bank Rakyat didakwa pecah amanah RM15 juta

Abdul-Aziz-Zainal_Mustafha_bank-rakyat1KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak dan pengerusi bank itu, Tan Sri Abdul Aziz Zainal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan peruntukan berjumlah RM14.99 juta, Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, Mustafha, 48, didakwa melakukan pecah amanah membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 yang diamanahkan kepadanya di Menara Kembar Bank Rakyat, No 33 Jalan Travers, pada 11 Mac lalu.

Aziz, 65, pula didakwa bersubahat dengan Mustafha untuk melakukan kesalahan sama di tempat dan tarikh sama.

Mustafha didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, manakala Aziz didakwa mengikut Sesyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun, disebat dan didenda.

Aziz diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Mustafha diwakili peguam Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Bahagian Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Masri Mohd Daud.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM400,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama kerana ia membabitkan jumlah transaksi sama.

Terdahulu, Masri mencadangkan jumlah jaminan RM2 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana ia adalah kesalahan serius melibatkan institusi kewangan.

Shafee dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana ia tidak relevan dengan kesalahan pecah amanah yang dilakukan anak guamnya.

Beliau berkata, Aziz yang mempunyai empat anak pernah berkhidmat dengan pasukan keselamatan dan memegang jawatan tertinggi serta menerima pelbagai anugerah ketika dalam perkhidmatan.

Sementara itu, Kamarul Hisham dalam rayuannya juga memohon jumlah jaminan yang rendah kerana anak guamnya sudah lama berkhidmat dengan Bank Rakyat dan mempunyai empat anak berusia 7 hingga 23 tahun.

Bagaimanapun, Masri berhujah, tidak semestinya orang mempunyai latar belakang baik serta menerima pelbagai anugerah tidak akan melarikan diri dan kesalahan itu membabitkan orang nombor satu dan dua dalam Bank Rakyat.

Hakim membenarkan permohonan Shafee untuk menangguhkan bayaran jaminan anak guamnya sehingga jam 3 petang esok kerana jumlah wang jaminan yang disediakan tidak mencukupi.

Mustafha ditahan SPRM pada 25 Ogos lalu, manakala Aziz pula ditangkap empat hari kemudian.

Mereka berdua direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan projek buku RM15 juta dan projek menaik taraf sistem teknologi maklumat bank terbabit.

Satu akaun bank Aziz yang dikatakan mempunyai simpanan hampir RM1 juta turut dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan kes itu dan dia dibebaskan dengan jaminan RM100,000 pada Isnin lalu selepas tempoh remannya tamat.

Pautan:

Rasuah: Pengarah urusan bank, 3 lagi direman