Peguam: Pengerusi Bank Rakyat tidak ambil 1 sen pun daripada RM15 juta

Shafee-Abdullah_aziz-zainal01KUALA LUMPUR: Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal tidak mendapat sebarang keuntungan daripada projek buku RM15 juta, kata peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di mahkamah hari ini.

Aziz dituduh bersubahat dengan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak dalam projek buku kenang-kenangan seorang bekas pemimpin negara.

“Jika ada sebarang cadangan mengenai pecah amanah lebih RM14 juta, saya akan beritahu anda yang tiada satu sen pun daripada jumlah itu dijumpai dalam pemilikannya,” kata Shafee yang dipetik Malay Mail Online.

Shafee berkata demikian ketika memohon mahkamah mengurangkan bayaran jaminan RM2 juta yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Saya diarahkan anak guam saya, jika Yang Arif menetapkan jaminan melebihi RM400,000, anak guam saya perlu masuk penjara.

“Disebabkan dia ialah seorang penjawat awam, dia tiada wang. Selama ini, dia adalah penjawat awam,” kata Shafee kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Madihah Harullah.

Hakim membenarkan permohonan Shafee untuk menangguhkan bayaran jaminan anak guamnya sehingga jam 3 petang esok untuk membolehkan penjamin dan isterinya mencairkan aset mereka bagi mendapatkan wang tunai.

Shafee turut memberitahu mahkamah, ketika direman tujuh hari selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 29 Ogos lalu, kenyataan Aziz hanya diambil dua hari sebelum dia dibebaskan Isnin lalu.

“Ketika disoal siasat, tiga individu mendesak dia membuat kenyataan yang ‘sama sekali tidak sukarela’,” katanya kepada hakim.

Susulan penahanan Aziz, SPRM turut membekukan satu akaun bank miliknya yang mengandungi RM1 juta.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan memang berlaku jenayah pecah amanah dan subahat yang menyebabkan Bank Rakyat, sebuah bank koperasi berasaskan Islam di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerugian hampir RM15 juta.

Hakim menetapkan 10 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, Mustafha mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 yang diamanahkan kepadanya.

Aziz, 65, yang merupakan pesara panglima tentera, didakwa mengikut Sesyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 kanun sama, turut mengaku tidak bersalah.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dikaitkan dengan jenayah pecah amanah oleh penjawat awam atau ejen, mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun, disebat dan didenda.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM400,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/07/2-pegawai-tertinggi-bank-rakyat-didakwa-pecah-amanah-rm15-juta/