10 juta umat Islam seluruh dunia sertai world #QuranHour

Tan Sri Othman MustaphaKUALA LUMPUR: Program World #QuranHour yang julung kali diadakan mendapat penyertaan lebih 10 juta umat Islam seluruh dunia yang serentak mengalunkan ayat suci Al-Quran selama sejam, bermula 9 pagi mengikut waktu tempatan masing-masing.

Program itu cetusan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), sebuah yayasan yang berorientasikan dakwah untuk ummah.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kumpulan Media Karangkraf dan mendapat sokongan daripada 50 negara antaranya Filipina, Arab Saudi, New Zealand, Macedonia dan Turki.

Ketua Pegawai Eksekutif WUI Marhaini Yusoff berkata program tersebut dilaksanakan bagi mencetus kesedaran umat Islam untuk menzahirkan kecintaan kepada Al-Quran dengan mengamalkannya selama sejam setiap hari sehingga hujung nyawa.

“World #QuranHour ini bukan sekadar satu event tetapi penerusan usaha dari 2013 untuk bawa masyarakat berinteraksi dengan Al-Quran, bukan sekadar membaca, tetapi membentuk ‘Quranic mindset’ yang akhirnya melahirkan seorang Muslim sejati,” katanya pada sidang media program itu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha berharap program World #QuranHour itu akan dijadikan acara tahunan serta dapat dimasukkan dalam setiap program jabatan itu.

“Saya yakin melalui program hari ini, masyarakat akan dapat meletakkan sejam satu hari walau dalam keadaan sibuk pun untuk meluangkan masa membaca Al-Quran,” katanya.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim yang juga presiden UIAM, pula mahu umat Islam menggunakan Al-Quran sebagai panduan dalam menyatukan hati serta mengetepikan perbezaan.

Katanya, terdapat pelbagai prinsip dan nas dalam kalam Allah yang boleh dijadikan contoh untuk rakyat bersama-sama menjayakan perpaduan yang berperanan besar dalam membangunkan negara.

World #QuranHour merupakan kesinambungan daripada inisiatif WUI sejak 2013 melalui #AktifkanRumahNgaji dan #MalaysiaNgaji yang diadakan pada setiap 24 Ramadan.