Mara Digital Mall akan dibuka di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Pusat barangan teknologi maklumat (IT) usahawan Bumiputera, Mara Digital Mall bakal dibuka di Pulau Pinang, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pengarah Mara negeri sedang mencari lokasi sesuai untuk tujuan itu sama ada di tanah besar atau di pulau atau di kedua-duanya.

“Sepertimana kita ketahui Pulau Pinang mempunyai potensi besar daripada segi pasaran kerana ia sebuah bandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tanjong di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Tanjong Datuk Ahmad Ibni Hajar.

Ismail Sabri berkata pemilihan lokasi bagi Mara Digital Mall turut mengambil kira suasana bagi menarik lebih ramai orang untuk membeli barangan di pusat berkenaan.

“Kita perlu mengutamakan suasana, jangan cari tempat yang begitu terpencil. Sekiranya di tempat beli-belah ia akan hidup kerana ramai golongan muda yang menghidupkan suasana di kompleks beli-belah, jadi lokasi adalah inti pati penting dalam pembukaan Mara Digital Mall,” katanya.

Katanya, selain Pulau Pinang, kajian untuk penubuhan pusat itu turut dijalankan di Perak dan Kedah dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam bidang berkenaan.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bekerja kuat bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Beliau berkata parti komponen sebenarnya bergantung antara satu sama lain dan oleh itu perlu bekerja bersama-sama, berkongsi kuasa serta berkongsi kerja untuk mencapai kemenangan.

“Tujuan kita wujudkan komponen supaya kita dapat bersama-sama. Orang Melayu sumbang undi melalui Umno, orang Cina (sumbang undi) melalui Gerakan dan MCA manakala Parti Progresif Penduduk (PPP) dan MIC menyumbang daripada segi pengundi India.

“Jika semua parti mewakili kaum ini boleh menyumbang berdasarkan kaum masing-masing, Insya-Allah kita (BN) akan menang, semua kerusi pun kita akan menang,” katanya.