Urus isu 1MDB buat saya sakit, kata Husni

Husni Ahmad Husni HanadzlahPETALING JAYA: Bekas menteri kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata tekanan ketika menguruskan kontroversi 1MDB hingga menyebabkan beliau jatuh sakit, mendorong kepada keputusan untuk meletakkan peletakan jawatan daripada Kabinet tahun ini.

Malah, Husni berkata darahnya naik mendadak selama lima jam pada awal April lalu kerana begitu tertekan sebelum meletakkan jawatan, lapor Sinar Harian, hari ini.

“Sudah beberapa bulan saya stres sebab 1MDB. Saya anggap tekanan darah tinggi selama 5 jam datang daripada petunjuk Ilahi bagi saya menilai di mana saya harus berada.

“Ada kala saya terasa, bekerja secara lurus tidak ada tempat di dunia ini. Saya bertanya, adakah patut saya terus berada dalam Kabinet atau tidak?”

“Saya membuat penilaian satu persatu dari sudut tubuh, minda, hati dan kerohanian, sejauh mana tertekan dengan permasalahan 1MDB?” katanya dalam satu temu bual dengan akhbar itu.

Sinar Harian melaporkan, Husni berkata keputusan itu dibuatnya ketika berada di Laos menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asean.

“Saya beritahu pegawai saya, saya tidak berapa sihat pada sebelah tengah hari dan saya tidak mampu untuk hadir ke mesyuarat sebelah petang.

“Seorang pegawai kanan Bank Negara berkata ‘semua orang tahu Datuk Seri tidak terlibat dengan urusan 1MDB. Mengapa Datuk Seri tertekan dengan isu 1MDB?’

“Kata-kata itu membuka hati saya… harus pisahkan antara kerja, perkara yang tidak melibatkan saya dan keadaan diri. Fikiran saya terasa lega,” katanya dipetik daripada akhbar itu.

Husni meletakkan jawatan pada akhir Jun lalu secara tiba-tiba sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan rombakan Kabinet.

Beliau juga meletakkan semua jawatannya dalam Umno di peringkat pusat, negeri dan bahagian dan hanya kekal sebagai wakil rakyat kawasan Tambun.

Pada waktu itu Ahmad Husni menafikan pengundurannya ada kaitan dengan syarikat kontroversi 1MDB.

Husni dipetik sebagai berkata selepas membuat keputusan itu, 1MDB tidak lagi mengganggu minda dan hatinya.

Akhbar harian itu turut melaporkan Husni berkata beliau amat berharap masalah 1MDB dapat diatasi kerana sebarang perkembangan negatif boleh menjejaskan rating negara dan akan membawa kesan sistemik kepada keseluruhan ekonomi negara yang akhirnya merugikan negara dan rakyat.

Pautan

‘Saya beritahu Najib: Kalau pindahkan saya, saya bersara’