Amah Indonesia maut di Malaysia, organ disyaki dijual sindiket

human

JAKARTA: Warga Indonesia, Yulfrida Selan maut selepas 10 bulan bekerja sebagai pembantu rumah di Kuala Lumpur dan keluarga dimaklumkan punca kematian gadis itu ialah menggantung diri.

Bagaimanapun, syarikat penyiaran Australian Broadcasting Corporation (ABC) melaporkan, wanita itu mungkin menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dan organnya mungkin dijual selepas beliau maut.

Menurut laporan itu, polis Indonesia mengakui gadis berusia 19 tahun itu menjadi sasaran sebuah sindiket pemerdagangan manusia.

Jurucakap polis Nusa Tenggara Timur, Jules Abast yang dipetik ABC sebagai berkata, berdasarkan hasil bedah siasat, polis Malaysia mengesahkan punca kematian Yulfrida ialah membunuh diri dengan menggantung dirinya.

Tetapi, bedah siasat kedua yang dijalankan di Indonesia mendedahkan pelipis, dada, siku, tangan dan belakang badan mangsa mempunyai kesan lebam akibat dipukul objek tumpul.

Polis memetik laporan bedah siasat itu yang mengesahkan gadis itu adalah mangsa ketiga dari wilayah Nusa Tenggara Timur yang maut ketika bekerja di luar negara, sejak April lalu.

ABC melaporkan, ahli keluarga yang terkejut dengan jahitan bedah siasat pada badan mangsa menuntut bedah siasat kedua dilakukan kerana bimbang organnya mungkin diperdagangkan.

Doktor forensik mendapati sukar untuk menyusun semula hirisan organ dan otak yang diletak dalam dada dan rongga perut mangsa.

Ketua Kampung Tusan, Melky Musu yang dipetik ABC berkata, Yulfrida “diperhambakan dan dilayan seperti binatang”.

“Kami mahu kerajaan menyiasat kes ini supaya kebimbangan dan kesedihan kami boleh dikurangkan.

“Kami mengesyaki ada petunjuk organ dalam badannya sudah dijual. Kami tidak mahu sebarang organ miliknya dijadikan komoditi perdagangan,” katanya.

Seorang anggota polis di Nusa Tenggara Timur yang dipetik ABC mendakwa, pegawai kanan polis dan imigresen terbabit dalam kegiatan penyeludupan manusia.

“Di bahagian detektif, mereka adalah orang nombor satu di bahagian ini, begitu juga di imigresen.

“Saya nampak suspek pemerdagangan orang yang ditahan polis dan dibebaskan selepas 2 atau 3 minggu. Mereka kemudiannya merekrut kanak-kanak yang tercicir sekolah. Lelaki itu adalah orang sama.”

Sementara itu, Jules memberitahu ABC, lebih 12 orang ditahan dalam kes Yulfrida, termasuk seorang bekas anggota polis.

“Sejak 2015, kira-kira 30 kes pemerdagangan manusia yang kita tangani,” katanya.

Badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Pengembangan Inisiatif dan Advokasi Rakyat (PIAR) berkata, datanya menunjukkan 11,000 orang dari Nusa Tenggara Timur diperdagangkan sejak 2009.