Atlet lompat jauh pecah rekod dunia, raih emas ke-3 Malaysia di Paralimpik Rio

Abdul-Latif-Romly

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik Malaysia terus cemerlang di temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, apabila Abdul Latif Romly meraih pingat emas ketiga negara serta mencipta rekod dunia baharu.

Atlet berusia 19 tahun dari Kangar, Perlis itu yang beraksi dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) mencatat jarak 7.6m pada lompatan kelima beliau di Stadium Olimpik, Rio de Janeiro, semalam.

Rekod dunia terdahulu iaitu 7.35m adalah milik beliau sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lalu, manakala rekod Sukan Paralimpik 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol pada edisi 2012 di London.

Latif mula membuat lompatan terbaik pada cubaan kedua dengan 7.47m, selepas lompatan pertama dibatalkan atas kesilapan teknikal.

Beliau terus memperbaiki prestasi pada lompatan seterusnya dengan 7.54m, tetapi percubaan keempat hanya 6.79m, sebelum Latif menamatkan saingan pada 7.6m yang tidak mampu dicabar peserta lain.

Pingat perak acara itu diraih Zoran Talic dari Croatia dengan 7.12m dan gangsa menjadi milik Dmytro Prudnikov dari Ukraine dengan 6.99m.

Kelmarin (awal pagi Ahad waktu Malaysia), Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli menyumbang dua pingat emas pertama negara menerusi acara 100m T36 (celebral palsy) dan lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) yang masing-masing mencipta rekod kejohanan serta dunia baharu.

Pautan:

Atlet Malaysia cipta sejarah menang 2 emas di Paralimpik Rio