Guan Eng: Tiada permit untuk pemaju sedia pinjaman

lim-guan-eng-perumahan

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan mengeluarkan permit pembinaan kepada pemaju yang menawarkan pinjaman perumahan kepada pembeli, kata Lim Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang dipetik Nanyang Siang Pau berkata, pinjaman perumahan sepatutnya dikendalikan Bank Negara, manakala tanggungjawab pemaju adalah membina hartanah, bukannya memberi pinjaman berfaedah tinggi kepada pembeli rumah.

“Jika pemaju mendapat lesen pinjaman wang, mereka akan mengenakan faedah tinggi kepada pembeli rumah,” katanya selepas melancarkan kempen sifar sisa di Taman Bagan Lalang, semalam.

Khamis lalu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mencadangkan pemaju memohon lesen pinjaman wang untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank.

Katanya, kadar faedah akan dihadkan kepada maksimum 18% tanpa cagaran dan minimum 12% dengan cagaran.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani bagaimanapun menolak cadangan yang turut dikritik Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan dan Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak yang mengakui inisiatif itu akan menyebabkan pembeli berdepan risiko krisis hutang.

Johari dilaporkan berkata, jika pembeli rumah tidak mampu mendapat pinjaman bank pada kadar faedah 4% hingga 6%, maka mustahil mengharapkan mereka mampu membayar pinjaman pada kadar faedah sehingga 18%.

Lim berkata, mungkin cadangan itu bertujuan membantu pembeli rumah mendapatkan pinjaman, namun ia bukan cara betul untuk menyelesaikan masalah.

Ini kerana, katanya, pinjaman berfaedah tinggi yang diberikan pemaju hanya akan membebankan pembeli untuk melunaskan pinjaman.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menjalankan pemantauan, bagi memastikan tiada pemaju yang memberi pinjaman kepada pembeli atau tidak meluluskan permit pembinaan pemaju.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/08/pemaju-boleh-beri-pinjaman-kepada-pembeli-rumah/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/10/noh-pertahan-pinjaman-pemaju-rumah-hanya-alternatif/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/11/cadangan-noh-belum-dibawa-ke-kabinet-kata-tpm/