Indonesia mahu guna kuota haji Filipina, Singapura dan Jepun

joko-duerteJAKARTA: Presiden Indonesia, Joko “Jokowi” Widodo menggunakan peluang pertemuannya dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dengan meminta kuota haji yang tidak digunakan oleh negara itu supaya diserahkan kepada Indonesia.

“Saya membuat permintaan itu dalam pertemuan dengan Presiden Duterte,” Jokowi dipetik berkata demikian kepada kompas.com dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka bertemu di Istana Negara Indonesia pada minggu lepas.

Menurut laporan itu lagi, Jokowi juga turut membuat permintaan yang sama kepada Jepun dan Singapura.

Beliau juga memberi jaminan akan memastikan rakyat negaranya mematuhi undang-undang dan peraturan negara masing-masing bagi mengelakkan masalah seperti tangkapan 177 jemaah haji Indonesia oleh pihak berkuasa Filipina ekoran dakwaan penipuan pasport.

Pada masa yang sama, dalam satu lagi laporan berita BBC, Jokowi mengesahkan pemerintah Arab Saudi bersetuju menambah kuota bagi jamaah haji Indonesia.

Kesepakatan tersebut dicapai ketika delegasi kedua-dua negara bertemu di sidang kemuncak G-20 di Hangzhou, Cina, pada 4 dan 5 September lalu.

Arab Saudi menawarkan 168,000 tempat bagi rakyat Indonesia mengerjakan haji setiap tahun.

Permintaan yang tinggi dalam kalangan jemaah haji juga mendapati wujudnya perjalanan haji ‘haram’.

Pada 7 Sept yang lalu, sebanyak 229 warga negara itu ditangkap di Mekah kerana menunaikan haji tanpa mempunyai kebenaran rasmi.

Sekurang-kurangnya 120 orang daripada 229 orang didapati menggunakan visa umrah untuk menunaikan ibadah haji.

Beberapa minggu lalu, 177 warga negara itu ditangkap pihak berkuasa Filipina selepas dikesan menunaikan haji di Arab Saudi menggunakan pasport Filipina.