Kejayaan anak ‘nakal’ raih emas ke-3 Malaysia bagai bulan jatuh ke riba

Abdul-Latif-Romly

ARAU: Usaha gigih anak muda dari Kampung Paya Kelubi, Bukit Keteri ternyata tidak sia-sia, apabila beliau berjaya meraih pingat emas ketiga negara di Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, semalam.

Abdul Latif Romly bukan sahaja menjuarai acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) selepas menewaskan 11 peserta lain, malah pemuda berusia 19 tahun itu turut mencipta rekod dunia baharu dengan lompatan 7.6 meter, mengatasi rekod lamanya 7.35m yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lalu.

Salmah Yatim, 58, berkata kejayaan anak bongsunya yang kurang upaya intelektual itu seperti bulan jatuh ke riba kerana pencapaian tersebut amat besar bagi seorang anak istimewa yang masih muda dan cetek pengalaman.

“Saya terharu dan seperti bermimpi dengan kejayaannya kerana dia antara anak yang ‘nakal’, tetapi dia juga yang membanggakan keluarga,” katanya yang menangis kegembiraan ketika ditemui selepas menyaksikan kemenangan anaknya secara langsung menerusi YouTube di Pusat Khidmat Parlimen Arau, malam tadi.

Terdahulu, pada Sabtu (awal pagi Ahad waktu Malaysia), dua pingat emas negara disumbangkan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (celebral palsy) dan Muhammad Ziyad Zolkefli menerusi acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) yang turut mencipta rekod dunia baharu.

Bapa Latif, Romly Mat, 63, bersyukur dengan kejayaan tersebut dan berharap pengalaman berharga itu mampu mendorong anaknya untuk lebih berjaya.

“Saya sentiasa sokong usaha dia, jauh sekali mengharapkan dia meraih emas kerana apabila dia jadi ‘orang’, saya sudah cukup bersyukur,” katanya yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan atlet paralimpik Perlis meraikan kejayaan Latif dengan menyanyikan lagu Negaraku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut mengucapkan
tahniah Latif yang meraih pingat emas ketiga negara serta mencipta rekod dunia di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro.

“Cipta tiga rekod dunia dalam satu malam, pecahkan rekod sendiri. Abdul Latif Romly, anda luar biasa! Tahniah, emas ke-3 #MAS di #Rio2016 #Paralympics. #TerbangLatifTerbang,” tulisnya menerusi catatan di Twitter beliau.

Pautan:

Atlet Malaysia cipta sejarah menang 2 emas di Paralimpik Rio