Kementerian Kesihatan awasi bank darah elak pencemaran Zika

subramaniam-zika-blood-bag

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mewujudkan protokol mengawal penyebaran virus Zika dalam bank darah berikutan 40 kes terbaru yang direkod di Malaysia setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramanian berkata, ia sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan melalui derma darah.

“Kami akan memastikan ia diurus baik supaya risiko jangkitan menerusi derma darah dikurangkan, terutama bagi wanita hamil atau mereka yang merancang untuk hamil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan minggu Galeri MIC yang mempamer sejarah parti dan pemimpin, isu-isu dan aspek sejarah di ibu pejabat parti itu.

Pameran tersebut akan bermula esok selama seminggu.

Dalam pada itu, Subramaniam juga mendedahkan pada masa ini lebih 40 orang rakyat Malaysia disyaki dijangkiti virus Zika.

“Sebanyak 30 kes yang diuji pada awalnya didapati negatif,” katanya.

Sehingga 9 Sept, Malaysia mengesahkan 4 kes Zika.

Selain bank darah, makmal swasta juga menjalankan ujian darah pada pesakit yang disyaki dijangkiti virus.

Subramanian tidak menafikan semua keputusan ujian sememangnya wajib dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan yang berada di bawah kerajaan untuk pengesahan .

Subramanian juga ditanya mengenai laporan ahli sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai penemuan virus Zika yang mula-mula ditemui di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia pada 1960-an.

Menurutnya, Zika bermula di negara-negara Asia dan menjangkiti orang lain secara senyap, dan ia mungkin antara sebab rakyat di rantau ini kebal terhadap Zika.

Subramanian akui kes pertama Zika di negara ini berlaku pada 1960 namun Laporan WHO tidak dapat disahkan melainkan pihaknya melakukan kajian lapangan dan ujian darah di peringkat komuniti mengenai tahap imuniti rakyat terhadap Zika.

“Sebaik sahaja anda diserang Zika, anda akan mempunyai imuniti seumur hidup,” katanya.

Zika disebarkan oleh nyamuk Aedes aegypti, dikesan di 67 negara dan wilayah, termasuk Brazil.

Sejak kemunculan Zika, Malaysia meningkatkan pemeriksaan pelancong asing dari luar negara terutamanya Singapura dan menyembur kabus serta racun serangga.

Malaysia mencatatkan kes pertama jangkitan Zika selepas seorang wanita berusia 58 tahun di Bandar Botanic, Klang pada 1 Sept.

Pada 3 Sept Malaysia mencatatkan kes Zika kedua apabila seorang lelaki berusia 61 tahun positif Zika di Likas, Sabah. Lelaki itu bagaimanapun meninggal dunia pada hari yang sama kerana komplikasi jantung.

Suami kepada wanita hamil berumur 27 tahun di Johor Baru, diuji positif dengan Zika baru-baru adalah mangsa ke-4 jangkitan virus bawaan nyamuk itu.