Pemburu serpihan temui petunjuk MH370 terbakar

blaine

KUALA LUMPUR: Pemburu serpihan MH370, Blaine Gibson menemui serpihan yang mungkin boleh merungkai misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu pada 8 Mac 2014.

Bagaimanapun, beliau tidak akan “membuat kesimpulan” secara terburu-buru, menurut laporan The West Australian.

Beliau merujuk lokasi serpihan terbaharu berkaitan MH370 yang ditemuinya dan kesan terbakar pada serpihan itu.

Penemuan terbaharu itu, katanya, mempunyai kesan rumit yang luas.

“Jika berlaku kebakaran dalam avionics bay Boeing 777, amat penting kita mencari puncanya untuk memastikan ia tidak berulang lagi,” katanya.

Sehubungan itu, Gibson menggesa kerajaan tidak berputus asa dalam operasi pencarian MH370, memandangkan serpihan demi serpihan ditemui.

Pesawat itu yang membawa 239 penumpang dan kru hilang lebih dua tahun lalu ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Australia yang disokong Malaysia dan China mengetuai misi pencarian pesawat itu di selatan Lautan Hindi yang berkeluasan kira-kira 120,000km persegi.

Grace Nathan, waris penumpang Anne Daisy yang menaiki MH370 berkata, keluarga mangsa akan mengimbau kembali tragedi itu setiap kali teori baharu muncul.

“Mungkin selang tiga minggu, seseorang akan muncul dengan beberapa teori konspirasi pelik. Ia mengelirukan kami,” katanya sambil menambah, keluarga mangsa tidak pernah pulih daripada tragedi itu.

“Saya tidak pernah ada masa untuk bersedih.”

Nathan juga bersetuju dengan kenyataan keluarga mangsa lain pada minggu lalu yang media antarabangsa perlu kekal kepada fakta diketahui umum dan berhenti membuat spekulasi berhubung tragedi itu.

Akhbar The West Australian juga sependapat dengan laporan MH370 boleh menjadi subjek terlaris berdasarkan pelbagai spekulasi palsu.