Perak kawal Zika di semua sempadan negerinya

zika-checkup

IPOH: Pemeriksaan kesihatan wajar dilaksanakan di semua pintu sempadan antarabangsa di Perak sebagai langkah mengekang penularan virus Zika.

Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata langkah tersebut penting bagi mengurangkan kebimbangan pelancong terhadap ancaman virus berkenaan di negara ini.

“Sekarang ini kita lakukan pemeriksaan khas (imbasan suhu badan) di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, jadi kita akan cuba di pintu masuk lain seperti di Pengkalan Hulu (bersempadan dengan Betong di Yala, wilayah selatan, Thailand),” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Program Korban Perdana Sempena Program Jejak Masjid Negeri Perak di Masjid Muhammadiah atau dikenali Masjid Cina di sini hari ini.

Nolee Ashilin berkata penularan virus Zika jika gagal dikawal sedikit sebanyak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri itu dan ia perlu dielakkan kerana tahun depan merupakan Tahun Melawat Perak.

“Semestinya virus Zika ini ada memberi kesan kepada pelancongan kerana mungkin ada pelancong yang takut hendak datang ke Malaysia, tetapi ia adalah masalah satu dunia bukan kita sahaja.

“Bagaimanapun, kita akan melaksanakan segala usaha yang perlu bagimembendung kerisauan orang ramai mengenai virus ini,” katanya.

Setakat ini,jumlah kes Zika yang disahkan di seluruh negara adalah 4 dengan yang terbaharu dikesan pada 7 Sept lepas di Johor Bahru.

Mengenai program hari ini, Nolee Ashilin berkata acara julung kali diadakan itu merupakan kerjasama Masjid Muhammadiah; Tourism Malaysia; Tourism Perak; Persatuan Cina Muslim Malaysia dan Persatuan India Muslim Perak.

Katanya acara itu bakal dijadikan program tahunan dan dimasukkan dalam senarai pakej jejak masjid di negeri tersebut bagi menarik kehadiran pelancong.

“Saya juga minta lebih banyak badan bukan kerajaan dan persatuan supaya dapat memberi sumbangan agar agihan daging korban dapat diperbanyakkan,” katanya.

Pada majlis itu, lebih 400 bungkusan daging diagihkan kepada penerima.

Pautan:

Malaysia, Filipina kerjasama banteras jenayah rentas sempadan

Virus Zika memang wujud dalam masyarakat, kata menteri